Ahad, 29 Mei 2016 | 4:56pm

UniSZA laksana program 2U2i tahun ini


MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Profesor Dr Zubaidi Abdul Latif (lima dari kanan) bersama penggiat industri pada majlis Pelancaran Program 2U2i Ijazah Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) antara lima universiti awam (UA) yang akan melaksanakan program belajar sambil bekerja (2U2i) pada September ini.

Program diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi itu membabitkan dua tahun proses pembelajaran di dalam universiti dan dua tahun menimba pengalaman industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata UniSZA memilih jurusan Ijazah Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan untuk program berkenaan.

Katanya, empat universiti lain ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Program 2U2i dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehpasaran, persediaan dan kemahiran pelajar universiti memasuki alam pekerjaan. Kita meletakkan sasaran 80 peratus kebolehpasaran apabila mereka menamatkan pengajian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program 2U2i dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara UniSZA dan industri tempatan di Dewan Perdana UniSZA, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Pengarah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa.

Berita Harian X