Sabtu, 28 Mei 2016 | 9:34pm
Keadaan dalam Muzium Hagia Sophia, Istanbul.

Warga Turki tuntut Hagia Sophia kembali jadi masjid


Muzium Hagia Sophia, Istanbul.

ISTANBUL: Warga Islam di Turki hari ini berhimpun di hadapan muzium Hagia Sophia bagi mendesak kerajaan membenarkan bangunan itu kembali dijadikan masjid.

Media Turki melaporkan, seorang imam mengetuai solat jemaah di depan bangunan bersejarah itu yang sebelum ini adalah sebuah masjid sebelum ditukar menjadi muzium.

"Pecahkan rantai ini, buka Hagia Sophia," laung orang ramai yang berhimpun di plaza depan muzium itu, menurut agensi media Dogan.

"Kami menuntut supaya dibenarkan untuk solat dalam masjid Hagia Sophia," kata presiden Pertubuhan Pemuda Anatolia, Salih Turhan yang menganjurkan tunjuk perasaan itu sempena sambutan ulang tahun Kerajaan Uthmaniah menawan Istanbul.

Hagia Sophia adalah sebuah gereja yang dibina pada kurun keenam. Ia ditukar menjadi masjid pada 1453 ketika Uthmaniah menawan Istanbul atau juga dikenali sebagai Constantinople.

Selepas Empayar Uthmaniah tumbang, negara moden dan sekular Turki ditubuhkan sekali gus menyaksikan masjid itu dijadikan muzium pada 1935. - AFP

Berita Harian X