Sabtu, 28 Mei 2016 | 12:39am

Sunway catat keputusan kukuh dalam persekitaran mencabar


Pengurus Besar Pemasaran & Jualan, Bahagian Pembangunan Hartanah, Sunway Bhd, Gerard Yuen (kiri) dan Pengarah Eksekutif, Bahagian Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah, Ang Kee Ping (kanan) dalam lawatan ke tapak projek Sunway Mont Residence @ Mont Kiara selepas sidang akhbar di Sales Sunway Mont Gallery, Plaza Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd mencatat untung bersih RM102.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2016, berbanding RM146.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam suku dikaji, pendapatan konglomerat pembinaan-hartanah itu meningkat kepada RM1.07 bilion daripada RM1.06 bilion pada suku sama 2015.

Perbezaan dalam keuntungan bersih disumbangkan sebahagian besarnya oleh peningkatan modal berjumlah RM22.9 juta daripada penjualan dua unit pelaburan hartanahnya, Sunway Hotel Georgetown dan Wisma Sunway pada suku sama sebelumnya.

Ia juga disebabkan oleh pengurangan sumbangan daripada bahagian pembinaan kepada 54.4 peratus berikutan penyenaraian Sunway Construction Group Bhd.

Pendapatan kukuh pula didorong oleh perniagaan teras Sunway iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan pembinaan yang menyumbang 67 peratus kepada pendapatan meskipun persekitaran ekonomi yang sederhana

Menurut Sunway, segmen pembangunan hartanah mencatatkan pendapatan RM234.1 juta berbanding RM180.7 juta pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM69.1 juta daripada RM56.9 juta.

Peningkatan pendapatan segmen itu berikutan jualan kukuh daripada projek Avant Parc di Singapura.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, berkata kumpulan kekal berdaya tahan dengan perniagaan yang pelbagai di pelbagai kawasan geografi jenama yang kukuh, serta model perniagaan unik bina-miliki-kendali.

"Ini turut disokong oleh lembaran imbangan yang kukuh Sunway dan nisbah hutang rendah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

INFO

* Sasar lancar hartanah bernilai RM1.6 bilion tahun ini

* Jualan belum dibilkan - RM2.0 bilion setakat 31 Mac 2016

* Pendapatan pelaburan hartanah - RM169.2 juta

* Pendapatan segmen pembinaan RM311.4 juta

* Kontrak pembinaan dalam tangan - RM5.0 bilion

Berita Harian X