Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:09pm

Awasi tabiat pemakanan kanak-kanak


FOTO hiasan.

SHAH ALAM: Tabiat pemilihan makanan tidak berkhasiat dalam kalangan kanak-kanak yang boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan perlu terus diberikan perhatian menyeluruh.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Selangor, Abdul Aziz Abdul Jalil, berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menjangkakan masalah kekurangan nutrisi kanak-kanak akan menjadi kebimbangan di negara maju dan membangun pada abad ke-21.

Beliau yang juga pemangku jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri berkata, program kesedaran dalam mempertingkatkan pengetahuan murid perlu terus dipertingkat dari semasa ke semasa.

"Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Kajian Nutrisi Asia Tenggara (Seanuts) selama hampir dua tahun, membabitkan 3,542 kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun mendapati satu daripada 20 kanak-kanak mengalami kurang berat badan.

"Satu daripada lima kanak-kanak pula mengalami lebihan berat badan atau obesiti. Puncanya ialah diet atau cara pemakanan yang tidak baik," katanya.

Abdul Aziz berucap merasmikan program "Halal dan Sihat Di Sekolah" sempena meraikan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa yang akan disambut seluruh dunia rabu depan, di sini.

Program anjuran Hotel Grand BlueWave Shah Alam dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) turut dihadiri 400 murid sekolah rendah daripada 10 sekolah sekitar Lembah Klang.Selain sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam menggalakkan pemakanan halal dan sihat dalam kalangan murid sekolah rendah, program itu bertujuan untuk melatih mereka untuk terus berjimat cermat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Berita Harian X