Jumaat, 27 Mei 2016 | 11:56am
MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)

Zakat fitrah Pahang kekal RM7

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menetapkan bayaran zakat fitrah di negeri ini bagi tahun ini pada kadar RM7, kadar sama sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata kadar itu adalah berdasarkan harga beras dan mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Bagi melancarkan urusan pungutan zakat fitrah tahun ini, katanya, seramai 968 amil ditauliahkan untuk membuat kutipan di seluruh negeri ini.

"Semua umat Islam dalam negeri ini perlu mengeluarkan zakat fitrah kepada amil yang diberi tauliah MUIP di tempat masing-masing bermula awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri.

"Mereka yang tidak membayar fitrah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Katanya, sesiapa yang didapati memungut fitrah tanpa kebenaran MUIP boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Berita Harian X