Khamis, 26 Mei 2016 | 10:24pm

Suntex Sports juara badminton 100PLUS


Pasukan Suntex Sport dinobatkan Johan kejohanan badminton 100plus berpasukan yang berlangsung di Paradigm Mall Kelana Jaya. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Suntex Sports muncul juara selepas menundukkan Kepong BC, 2-0 pada pertandingan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan 100PLUS 2016 yang berlangsung di sini, hari ini.

Mata pertama dikutip menerusi Beregu Lelaki 1 Suntex selepas menewaskan regu Kepong, 21-14, 21-13 dan mata kedua yang juga mata kemenangan Suntex dihadiahkan menerusi Beregu Campuran dengan keputusan 21-5, 21-6.

Selaku juara, Suntex pulang dengan ganjaran lawatan yang ditanggung sepenuhnya untuk satu pasukan seramai lapan orang ke Brazil, selain menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 serta peralatan badminton.

Kepong selaku naib juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 serta peralatan badminton.

Untuk rekod, kejohanan berpasukan disertai 73 pasukan itu bermula sejak minggu pertama Mei yang dibuka kepada pemain amatur dengan setiap pasukan membariskan enam pemain utama dan dua pemain simpanan.

Setiap pasukan mempunyai pemain berumur antara 19 hingga 55 tahun dan bersaing dalam tiga kategori iaitu Beregu Lelaki 1, Beregu Lelaki 2 (usia 70 tahun atau lebih) dan Beregu Campuran.

Pemain profesional yang pernah mewakili negeri atau negara tidak dibenarkan menyertai kejohanan terbabit.

Pengurus Pemasaran 100PLUS, Leong Wai Yin, berkata pihaknya puas hati dengan pencapaian pemain kali ini sambil memuji ia tanda positif terhadap perkembangan sukan itu pada masa depan.

"Kualiti permainan adalah bertaraf dunia dan pemain menunjukkan mereka terus dahagakan kejayaan sambil memaparkan semangat juang yang tinggi.

"Kami gembira melihat sambutan luar biasa untuk penyokong yang hadir dan kami berharap untuk mengadakan acara seumpama ini tahun depan," katanya.

Sementara itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata kejohanan anjuran 100PLUS itu amat berguna untuk menggalakkan pemain di peringkat akar umbi bermain badminton.

"Kejohanan ini amat baik untuk menggalakkan pemain remaja bermain badminton kerana pada ketika ini kita kekurangan kejohanan remaja.

"Apa yang 100PLUS buat ini dapat menggalakkan ramai lagi orang bermain badminton.

"Hadiah wang tunai juga penting dan saya harap lebih ramai penyertaan kejohanan ini tahun depan," katanya.

Berita Harian X