Selasa, 24 Mei 2016 | 6:06pm

LZS serah zakat untuk fakir miskin


ORANG ramai beratur untuk menerima zakat pada agihan bantuan Ramadan dan Hari Raya 2016 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam. - Foto Saddam Yusoff

PETALING JAYA: Seramai 368 asnaf fakir dan miskin daerah Petaling menerima zakat antara RM550 hingga RM1,000 setiap seorang pada agihan bantuan Ramadan dan Hari Raya 2016 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Kota Damansara di sini, semalam.

Agihan fasa pertama bagi daerah ini disempurnakan oleh Pengurus LZS daerah Petaling, Zulkepli Mad Yatim, yang membabitkan zakat berjumlah lebih RM200,000.

Zulkepli berkata, program agihan zakat bagi daerah Petaling dibahagikan kepada lima fasa membabitkan lebih 6,000 ketua keluarga asnaf fakir miskin dengan zakat lebih RM4 juta.

Mereka sebahagian daripada kira-kira 36,000 keluarga asnaf fakir miskin yang menerima sumbangan berjumlah lebih RM20 juta pada tahun ini.

"Kami berharap sumbangan ini mampu membantu mereka membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal," katanya.

Penerima zakat, Fatimah Abdul Raof, 65, berkata sumbangan itu dapat membantu dia dan suaminya membeli barang keperluan lebih awal dengan meminta bantuan daripada jiran.

"Saya kurang sihat manakala suaminya perlu berehat selepas menjalani pembedahan jantung," katanya.

Fakta nombor

lebih RM20 juta

zakat untuk asnaf fakir miskin di Selangor pada 2016

36,000

keluarga asnaf fakir miskin yang menerima zakat

Berita Harian X