Selasa, 24 Mei 2016 | 5:20pm

RM300,000 untuk rai guru cemerlang

MENTERI Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kiri) bersama Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin (kiri) bersalaman dengan guru-guru yang hadir di majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Kali Ke- 45 di Dewan Arena Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Gong Badak. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Sejumlah RM300,000 disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) tahun ini untuk meraikan guru cemerlang di semua peringkat.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata peruntukan itu disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini, bertujuan mengiktiraf dan menghargai usaha warga pendidik di negeri ini yang berjaya melahirkan murid dan pelajar cemerlang.

Beliau juga berkata, seramai 50 guru cemerlang tahun ini dan tahun lalu juga akan dibawa melawat Huaxi, China, tahun ini, sebagai insentif di atas kecemerlangan perkhidmatan yang ditunjukkan.

"Walaupun keadaan kewangan kita agak terbatas, kita tetap mengiktiraf golongan pendidik ini.

"Tahun ini, sejumlah RM300,000 disumbangkan oleh GLC kepada tabung JPNT bagi menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan buat mereka yang cemerlang.

"Insentif untuk 50 guru berkenaan pula adalah insentif yang diberikan tahun lalu, namun atas kesuntukan waktu, ia belum dapat dilaksanakan JPNT.

"Justeru, kita membuat keputusan ia digunakan tahun ini dan akan dimanfaatkan untuk guru cemerlang tahun lalu dan tahun ini," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.

Pada majlis itu, pesara guru, Wahid Setia yang berkhidmat 36 tahun sebagai guru, dinobatkan penerima Anugerah Tokoh Guru Terengganu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, plak dan sijil.

Selain itu, Anugerah Guru Cemerlang kategori Pendidikan Khas diberikan kepada Wan Mohd Radzi Wan Sulaiman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nering, Besut dan Wan Ahmad Jafni Wan Musa dari SMK Seberang Marang bagi kategori Guru Kelainan Upaya.

Mahdalina Jamil dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payung, Marang dianugerahi Tokoh Guru Nilam; manakala SMK Agama Wataniah, Besut terpilih bagi anugerah Pengurusan Sekolah Cemerlang kategori menengah dan SK Sungai Lerek, Setiu (sekolah rendah).

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut terpilih untuk Anugerah Pengurusan PPD cemerlang; Zarina Sidek dari SK Chendering (Anugerah Khas Pengarah) dan Datuk Hassan Ali (Anugerah Kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Berita Harian X