Selasa, 4 November 2014 | 6:53pm

Media Prima cemerlang dalam sumber manusia

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd menerima Anugerah Emas bagi kategori Kecemerlangan Dalam Pembangunan Graduan dan Anugerah Gangsa bagi kategori Kecemerlangan Dalam Pembangunan Kepimpinan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia 2014.

Anugerah berkenaan mengiktiraf organisasi yang mempunyai sumber manusia mantap dan berkesan di samping amalan pengurusan pekerja yang memenuhi keperluan pertumbuhan perniagaan, kakitangan, industri serta negara.

Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan, berkata syarikat berbangga diiktiraf dalam Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia dan akan terus melaksanakan amalan terbaik industri dalam inisiatif hubungan kakitangan.

"Kami komited untuk menyediakan persekitaran kerja dan peluang pembangunan kerja terbaik untuk semua kakitangan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Media Prima baru-baru ini juga diiktiraf sebagai antara 50 majikan graduan utama di Malaysia oleh GTI Media.

Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia 2014 dianjurkan majalah Human Resource, bermatlamat mengiktiraf amalan sumber manusia yang cemerlang serta menyediakan platform kepada pengamal sumber manusia untuk berhubung antara satu sama lain.

Berita Harian X