Isnin, 23 Mei 2016 | 3:38pm

Fast Bikes sasar jualan 300 unit Triumph tahun ini

MODEL bersama motosikal Triumph jenis Street Twin pada pelancaran model itu hari ini. - Foto Owee Ah Chun
MODEL bersama motosikal Triumph jenis Street Twin pada pelancaran model itu hari ini. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Triumph menyasarkan jualan lebih 300 unit pada tahun ini berbanding 211 unit tahun lalu.

Pengurus Jualan, Fazli Shukor, berkata pihaknya sudah berjaya menjual sebanyak 93 unit setakat April lalu dan mencatatkan pertumbuhan 75 peratus.

"Pada 2015, kita menjual 211 unit, mencatatkan peningkatan 83 peratus berbanding 115 unit pada 2014," katanya pada majlis pelancaran barisan motosikal klasik baharu Triumph di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al-Malique Hussain; Pengurus Teknikal dan Selepas Jualan Fast Bikes Sdn Bhd, Panagiotis Mavrikos dan Pengurus Jualan Eksport Serantau Asia Pasifik Triumph Motorcycles UK Ltd, Mark McConnell.

Dalam perkembangan berkaitan, Fazli berkata, lima lagi pusat pameran Triumph bakal dibuka dalam tempoh terdekat ini.

Pusat berkenaan akan di buka di Petaling Jaya, Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Kuching dan Johor," katanya.

Syarikat itu hari ini memperkenalkan generasi motosikal ikonik baharu, Bonneville dengan empat varian iaitu Street Twin, Bonneville T120, T120 Hitam dan Thruxton R.

Motosikal Street Twin dengan sesaran 900cc yang menjana tork tinggi dijual pada harga RM55,900 tidak termasuk cukai jalan dan insurans boleh didapati dalam warna perak aluminium, merah cranberry, hitam phantom.

Model Bonneville T120 yang berkapasiti 1,200cc ditawarkan dalam warna hitam jet, merah cinder, merah cranberry, perak aluminium dan hitam jet putih tulen, manakala model T120 Hitam pula berwarna matt graphite dan hitam jet yang dijual pada harga RM79,900 tidak termasuk di atas jalan raya dan insurans.

Bagi Thruxton R yang juga mempunyai 1,200cc dijual pada harga RM91,000 tidak termasuk di atas jalan raya dan insurans dan boleh didapati dalam warna ais perak, matt dan merah diablo.

Sementara itu, Razak Al-Malique pada sidang media berkata, harga jualan berkenaan sah hingga diberitahu kelak dan harga dijangka naik sedikit mulai Julai ini.

Berita Harian X