Sabtu, 21 Mei 2016 | 8:57am

Bolt menang di Ostrawa tapi tidak gembira


USAIN Bolt (tengah) bersama saingannya, Masito Lehata dari Lesotho (kiri) dan Ramon Gittens dari Barbaros pada acara pecut 100 m di kejohanan olahraga Czech Golden Spike, semalam. - Foto EPA

OSTRAWA, Republik Czech: Usain Bolt menjuarai acara pecut 100 meter di kejohanan olahraga Czech Golden Spike dengan catatan 9.98 saat (s) semalam yang juga perlumbaan keduanya musim ini menjelang Sukan Olimpik Rio pada Ogos.

Bolt berkata, beliau tidak "gembira sepenuhnya" dan menyalahkan kelemahannya pada awal perlumbaan yang gagal mencapai sasaran untuk berlari di bawah masa 9.8s di bandar timur Czech, Ostrava.

"Pada 40 meter pertama saya agak lembab," katanya selepas menewaskan Ramon Gittens dari Barbados dengan kelebihan 0.23s dan pemenang tempat ketiga, Hassan Taftian dengan 0.27s.

"Reaksi saya adalah baik, saya fikir satu-satunya masalah saya adalah ketiadaan sokongan di belakang ketika permulaan, saya tidak melaksanakannya, saya tidak cukup kuat untuk 40 meter pertama."

"Jadi saya terpaksa bekerja lebih keras akhirnya untuk mendapatkan kelajuan. Jika saya boleh melakukan peningkatan, ia akan OK," kata Bolt.

Awal minggu ini Bolt berjumpa dengan doktor Jerman berikutan ketegangan hamstring ketika beraksi di Jemputan Cayman minggu lalu apabila merakamkan 10.05s. Tetapi kecederaan itu dilihatnya tidak memberikan kesan di Ostrava.

Melihat peluangnya di Rio, jaguh pecut berusia 29 tahun dari Jamaica itu berkata dia terasa bagaikan "berada di sana".

"Selagi saya bebas daripada kecederaan dan terus memberikan tekanan kepada diri sendiri, terus melakukannya seperti biasa, saya akan selamat," kata Bolt yang memiliki rekod 100m dunia dengan catatan 9.58s dan rekod 200m (19.19s).

"Saya pasti akan menang di Rio, selagi semuanya berjalan lancar dan saya harus OK, kamu tahu apa saya maksudkan?," katanya. - AFP.

Berita Harian X