Khamis, 19 Mei 2016 | 12:12pm
Projek fasa ketiga Melia Residence oleh UEM Sunrise Bhd.

Melia Residences catat jualan memberangsangkan

ISKANDAR PUTERI: UEM Sunrise Bhd melancarkan jualan projek fasa ketiga Melia Residences dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM133.47 juta di Gerbang Nusajaya, di sini.

Ketua Pegawai Operasi Komersial UEM Sunrise, Raymond Cheah, bagaimanapun berkata, projek membabitkan 82 unit kediaman strata bertanah pemilikan bebas itu setakat ini sudah mencapai jualan sebanyak 51 peratus.

Katanya, fasa ketiga Melia Residences membabitkan 160 rumah teres yang dijual dari harga RM872,888.

"Penjualan Fasa 1 dan 2 Melia Residences amat memberangsangkan apabila semua 206 unit habis dijual dalam tempoh dua hari pelancarannya, menjangkaui sasaran awal tiga hingga enam bulan.

"Dalam usaha memenuhi permintaan pembeli, UEM Sunrise membuka penjualan Fasa 3 dengan unit terhad," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek Melia Residences dengan nilai GDV RM573 juta itu dijangka mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan pada suku keempat tahun ini.

Dibangunkan di kawasan seluas 29.8 hektar, Melia Residences adalah pembangunan kediaman pertama UEM Sunrise di Gerbang Nusajaya, pintu masuk ke Iskandar Malaysia.

Melia Residences dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Berita Harian X