Khamis, 19 Mei 2016 | 10:01am
Kru kapal LNG Puteri Mutiara 1, Mohd Azwan Mohd Shafiai, 32, dibawa oleh sepasukan anggota APMM Kudat untuk dirawat di Hospital Kudat. - Foto ihsan APMM

APMM bantu pindahkan kru kapal ke hospital


Kru kapal LNG Puteri Mutiara 1, Mohd Azwan Mohd Shafiai, 32, dibawa oleh sepasukan anggota APMM Kudat untuk dirawat di Hospital Kudat. - Foto ihsan APMM

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan misi kemanusiaan dengan membantu memindahkan seorang kru kapal LNG Puteri Mutiara 1 yang mengalami pendarahan pada bahagian hidung di perairan ini, semalam.

Pengarah Maritim Daerah Kudat, Leftenan Boon Chin Chau, berkata Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan daripada wakil syarikat kapal berkenaan pada jam 2.45 petang.

Ketika kejadian, katanya, kapal berkenaan dalam perjalanan dari Bintulu ke Yang San, Korea Selatan sebelum mangsa mengalami kecederaan pada hidung berpunca daripada besi yang melantun ketika membuat kerja penyelenggaraan.

Katanya, ketika panggilan itu dibuat, kapal terbabit berada kira-kira 60 batu nautika dari barat laut pekan Kudat.

"Pejabat Maritim Kudat menugaskan bot Kilat 3 ke lokasi pertemuan iaitu lima batu nautika utara Pulau Kalampunian di perairan Kudat untuk memindahkan mangsa daripada kapal berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Kudat.

"Mangsa tiba di pangkalan APMM Kudat pada jam 7.15 malam sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mangsa, Mohd Azwan Mohd Shafiai, 32, yang berasal dari Perak kini dilaporkan stabil.

Berita Harian X