Rabu, 18 Mei 2016 | 2:46pm

SP Setia yakin capai sasaran jualan RM4b tahun ini


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd, Datuk Khor Chap Jen.

SHAH ALAM: SP Setia Bhd yakin dapat mencapai sasaran jualan RM4 bilion tahun ini, walaupun pasaran hartanah agak perlahan berbanding sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khor Chap Jen, berkata sasaran jualan yang ditetapkan bagi 2016 itu walaupun diakui tinggi, ia 'tidak terlalu tinggi' dan secara realistiknya boleh dicapai.

Katanya, sasaran mampu dicapai berikutan permintaan bagi hartanah yang dilancarkan oleh SP Setia masih lagi kukuh berikutan lokasi dan harga yang ditawarkan kepada pembeli adalah tepat.

"Tahun lalu, perhatian kumpulan terarah kepada penyerahan unit rumah yang sudah dibeli serta pelancaran baharu di kawasan perbandaran sedia ada.

" ..bagi 2016 kami melancarkan perbandaran baharu termasuk Setia Eco Templer dan Setia EcoHill 2," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-41 SP Setia di sini, hari ini.

Tahun lalu, kumpulan hartanah terbesar tempatan dari segi jualan itu merekodkan jualan bernilai RM4.3 bilion.

Kira-kira 67 peratus daripada prestasi jualannya itu disumbangkan daripada pasaran tempatan, sekali gus melepasi sasaran asalnya bagi operasi di Malaysia.

Baki jualan SP Setia disumbangkan projek hartanah luar negara, dengan RM1.2 bilion adalah menerusi projek ikonik Battersea Power Station di London.

Berita Harian X