Rabu, 18 Mei 2016 | 1:47pm

Bawa bekas ketika beli makanan bazar Ramadan

SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) kini sedang giat mendidik peniaga supaya menggunakan bahan yang boleh dikitar semula untuk membungkus makanan bagi menggantikan plastik dan bekas polistirena.

Pengarah Jabatan Pelesenan MPSepang, Noor Halif Noorzan, berkata sebelum ini hanya pasar raya yang melaksanakan hari tanpa beg plastik pada setiap Sabtu dan konsep sama akan diperluaskan ke bazar Ramadan sekitar Sepang.

Beliau berkata, usaha mendidik peniaga dan pembeli mengenai hal berkenaan bukannya mudah dan perlu dilakukan secara berperingkat supaya apa yang ingin dilaksanakan dapat diterima dan difahami setiap lapisan masyarakat.

"Untuk Bazar Ramadan Mampan 2016, kita akan memperkenalkan hari tanpa beg plastik pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Justeru, MPSepang menggalakkan pengunjung membawa bekas sendiri bagi meletak makanan.

"Jika pembeli tetap mahukan beg plastik, mereka dikenakan caj kira-kira 20 sen bagi setiap beg plastik," katanya kepada media selepas memberi Taklimat Bazar Ramadan Mampan 2016 Sepang, di sini hari ini.

Noor Halif berkata, beliau berharap pelaksanaan hari tanpa beg plastik dapat dilakukan dan dipatuhi sepenuhnya oleh peniaga dan pelanggan mulai tahun depan.

"Pelbagai inisiatif dilakukan MPSepang untuk mendidik peniaga menggunakan bahan boleh diguna semula, antaranya dengan memberi anugerah kepada mereka yang mengikut syarat ditetapkan MPSepang.

"Kita mahu mendidik peniaga terlebih dulu kerana jika mereka memahami apa yang kita mahu laksanakan, ia secara tidak langsung dapat mendorong pembeli bertanya mengapa gerai jualan terbabit tidak lagi menggunakan plastik atau bekas polistirena," katanya.

Berita Harian X