Selasa, 17 Mei 2016 | 3:59pm

Perubahan struktur kerja punca tekanan


PERUBAHAN struktur kerja menyumbang kepada risiko psikososial di tempat kerja di mana pekerja menghadapi tekanan lebih tinggi untuk memenuhi permintaan tugas dan peningkatan persaingan. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perubahan struktur kerja menyumbang kepada risiko psikososial di tempat kerja di mana pekerja menghadapi tekanan lebih tinggi untuk memenuhi permintaan tugas dan peningkatan persaingan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia berlaku berikutan persaingan global dan peningkatan fleksibiliti pasaran buruh seterusnya mewujudkan lebih banyak jenis pekerjaan yang tidak menentu dan tiada jaminan.

"Tekanan berlaku apabila tuntutan dan tekanan kerja tidak sepadan dengan pengetahuan pekerja, kemampuan dan keupayaan menghadapi keadaan di tempat kerja.

"Kelemahan struktur kerja, organisasi kerja dan pengurusan boleh cetus risiko psikososial terhadap pekerja dan memberi kesan negatif seperti tekanan berkaitan dengan pekerjaan, keletihan dan kemurungan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran seminar NIOSH "Workplace Stress: A Collective Challenge" sempena  Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman dan Setiausaha Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.

Berita Harian X