Ahad, 15 Mei 2016 | 1:26pm

Bolt juara 100m Jemputan Cayman


Usain Bolt. - Foto www.nydailynews.com

GEORGE TOWN (Kepulauan Cayman): Pemegang rekod dunia acara 100 meter (m) dan 200m, Usain Bolt dari Jamaica memulakan musim 2016 dengan kemenangan acara 100m dengan catatan 10.05 saat di Jemputan Cayman. semalam

Bolt yang memulakan langkah pertama sebelum ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini melintasi garisan penamat 0.7s di hadapan naib juara dari Amerika, Dentarius Locke.

"Ia bukannya yang terbaik, tetapi selagi saya bebas daripada kecederaan, itulah perkara paling utama," kata Bolt.

"Saya tidak rasakan ia berjalan lancar seperti mana saya mahukan, tetapi saya sentiasa berkata, amat sukar untuk tampil dalam perlumbaan pertama dan melakukan yang lebih baik."

Kemar Bailey-Cole dari Jamaica yang berlatih bersama Bolt di tempat ketiga dengan kepantasan 10.18s.

Bolt dalam perancangan untuk mempertahankan mahkota 100m, 200m dan 4x100m di Brazil, mencari tiga emas serentak dalam penampilan terakhirnya di Olimpik.

Bolt yang akan berlumba di Ostrava minggu depan dan tidak risau mengenai prestasinya itu.

"Ia hanya perlumbaan lain. Jurulatih saya akan tentukan apa saya saya perlu buat tetapi pada saya sekarang ia hanya perlumbaan tambahan, lebih banyak saya berlari saya rasa lebih baik dan masih mencari lebih banyak kejohanan untuk melihat apa akan terjadi," kata Bolt. - AFP

Berita Harian X