Jumaat, 13 Mei 2016 | 5:53pm
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman (tengah) meninjau projek Rumah Mesra Rakyat milik Kamarulzaman yang terbengkalai di Kampung Air Hitam Darat, Tanjung Bidara, Masjid Tanah Melaka, petang tadi. - Foto Norizzah Baharudin

Kerajaan Melaka pastikan Rumah Mesra Rakyat siap

MASJID TANAH: Kerajaan negeri melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan memastikan dua buah rumah mesra rakyat yang terbengkalai di negeri ini akan disiapkan sepenuhnya dengan teliti dalam tempoh tiga minggu.

Dua rumah dikenal pasti masing-masing satu di daerah Jasin dan satu lagi di Kampung Air Hitam Darat, Tanjung Bidara, di sini, yang dijangkakan siap sepenuhnya sebelum Hari Raya Aidilfitri, Julai depan membabitkan kos anggaran RM19,000.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman, berkata SPNB sudah melantik kontraktor baharu untuk menjalankan kerja-kerja membaiki sistem pendawaian, perpaipan, lantai dan dinding yang retak.

"Isnin ini SPNB akan membuat surat tawaran dan surat pelantikan kepada kontraktor bagi mendapatkan anggaran kos diperlukan untuk membaiki dan menyiapkan rumah terbengkalai," katanya.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan ke tapak projek Rumah Mesra Rakyat di Tanjung Bidara bagi meninjau sendiri keadaan rumah pemohon Kamarulzaman Mohd Salleh, 33, petang tadi.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud. Keluhan Kamarulzaman dan isterinya, Siti Hajar Abd Ghani, 34, turut diketengahkan BH Online, semalam, selepas pasangan itu terpaksa menunggu selama lebih dua tahun kerana kegagalan kontraktor menyiapkan projek rumah berkenaan.

Sementara itu, Kamarulzaman ketika ditemui, berkata dia berharap projek rumah itu dapat disiapkan sebelum Ramadan tahun ini.

"Lebih dua tahun saya dan isteri menanti untuk memasuki rumah baharu memandangkan kini terpaksa menanggung sewa rumah dan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Berita Harian X