Khamis, 12 Mei 2016 | 1:04am

UMW Toyota semak semula unjuran jualan 2016


PENGERUSI UMW Toyota, Tan Sri Asmat Kamaludin melancarkan Pusat 1S terbaharu UMW Toyota di Seri Kembangan, hari ini. Turut kelihatan Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama dan Presiden UMW Toyota, Datuk Ismet Suki. - Foto Muhd Asyraf Sawal

SERI KEMBANGAN: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota), menyemak semula sasaran jualan model Toyota dan Lexus kepada 80,000 unit tahun ini daripada 87,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

Semakan semula itu selaras dengan unjuran lebih rendah Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi jumlah jualan kenderaan (TIV) 2016 kepada 650,000 unit berbanding 666,674 unit yang direkodkan pada tahun lalu.

Presiden UMW Toyota, Datuk Ismet Suki, berkata sasaran jualan lebih rendah daripada yang diumumkan sebelum ini dipengaruhi oleh situasi pasaran mencabar, selain syarat pinjaman kenderaan lebih ketat yang dilaksanakan pihak bank.

Beliau berkata, syarikat kekal optimis dengan sasaran jualan yang disemak semula kepada 80,000 unit kerana ia masih pada paras positif.

"Semakan semula unjuran jualan akan dilakukan lagi jika kami terpaksa dan ia bergantung kepada unjuran TIV yang diumumkan MAA. Semakan ini dilakukan di tengah-tengah persekitaran pasaran automotif yang mencabar.

"Bagaimanapun, rancangan untuk melancarkan beberapa model baharu tahun ini akan diteruskan, begitu juga dengan promosi jualan terutama pada musim perayaan," katanya selepas melancarkan Pusat 1S terbaharu UMW Toyota di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi UMW Toyota, Tan Sri Asmat Kamaludin dan timbalannya, Akio Takeyama.

Sementara itu, Ismet berkata, pihaknya meneruskan komitmen untuk menawarkan akses lebih mudah kepada pelanggan menerusi pembukaan pusat jualan terbaharu di Seri Kembangan.

Pusat 1S yang terletak di Pusat Perdagangan Olive Hill, iaitu kira-kira lima kilometer daripada pusat jualan sebelum ini yang beroperasi sejak tahun 1995.

Ismet berkata, UMWT melihat potensi perniagaan disokong pertumbuhan kawasan perbandaran di Seri Kembangan dan populasi lebih besar di kawasan baharu membangun.

Katanya, pusat jualan baharu itu juga akan menyediakan perkhidmatan kepada kawasan lain di bahagian selatan Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kemudahan baharu dan moden ini boleh dianggap sebagai model cawangan Toyota yang menekankan falsafah 'Pelanggan Diutamakan', yang mana keutamaan serta perkhidmatan nilai tambah ditawarkan kepada pelanggan," katanya.

INFO:

* UMWT memiliki 97 pusat jualan dan perkhidmatan selepas jualan termasuk pusat pengedaran di Malaysia.

* MAA unjur jualan susut 2.5 peratus tahun ini kepada 650,000 unit berbanding 666,674 unit pada 2015.

* Unjuran lebih rendah disebabkan pertumbuhan ekonomi perlahan, ketidaktentuan harga minyak mentah dan KDNK China.

Berita Harian X