Sabtu, 7 Mei 2016 | 6:52pm

Rafiq dan Li Jane Juara Terbuka Antarabangsa Malaysia 2016


PEMAIN boling negara, Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane menjulang trofi masing-masing pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-39 di Sunway Mega Lanes, hari ini. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Pemain boling negara, Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane dinobatkan juara Terbuka Masters Lelaki dan Wanita pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-39 di Sunway Mega Lanes, yang berakhir hari ini.

Kejayaan itu turut menyaksikan Rafiq dan Li Jane bergelar juara buat julung kali pada kejohanan seumpama ini dan masing-masing meraih hadiah trofi serta wang tunai RM40,000 dan RM15,000.

Rafiq menjatuhkan 204 pin pada saingan akhir untuk menewaskan pemain dari Indonesia, Yeri Ramadona yang sekadar mencatatkan 202 jatuhan pin.

Ramadona menerima RM20,000 manakala tempat ketiga milik Kim Bolleby dari Thailand yang melakukan 199 pin di pusingan separuh akhir sekali gus menerima RM15,000.

Bagi juara wanita pula, Li Jane melakukan 202 jatuhan pin, hanya berkelebihan satu pin untuk meninggalkan rakan senegara, Nora Lyana Nastasia Norkamal di tempat kedua.

Nora meraih wang tunai RM10,000 diikuti Joey Yeo (Singapura) di tempat ketiga selepas sekadar melakukan 202 jatuhan pin pada aksi separuh akhir dan membawa pulang hadiah RM7,500.

"Saya gembira dengan kejayaan ini namun saya akui ia satu pertembungan yang hebat kerana saya hanya menang dengan beza satu mata saja dengan Nora.

"Ini adalah kemenangan pertama saya untuk Terbuka Antarabangsa Malaysia dan harap dapat terus meraih kemenangan dalam kejohanan lain selepas ini," kata Li Jane.

Berita Harian X