Sabtu, 7 Mei 2016 | 3:10pm

Sektor swasta bantu promosi pelancongan Pahang


ANTARA peniag acara Jom Makan Pahang Food Festival di pekarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Tourism Pahang mahu pembabitan lebih banyak pihak swasta di negeri ini bagi menganjurkan pelbagai program yang dapat membantu promosi produk pelancongan sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017.

Pengarahnya, Datuk Ishak Mokhtar, berkata pihaknya sedia membantu pihak swasta yang berminat menganjurkan aktiviti atau karnival berkaitan pelancongan seperti pesta makanan, karnival kraf tangan atau memperkenalkan destinasi pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama pihak swasta penting untuk membantu pemain industri pelancongan memperkenalkan produk masing-masing kepada orang ramai terutama dari luar Pahang.

Katanya, Tourism Pahang sentiasa menyokong mereka yang mahu menganjurkan pelbagai program berkaitan pelancongan menerusi hebahan dan publisiti kepada pihak media cetak dan elektronik serta media sosial supaya apa yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Malah, kita juga akan mengiktiraf dan menjadikan program berkenaan sebagai sebahagian daripada acara penting dalam kalendar pelancongan negeri.

"Acara Jom Makan Pahang Food Festival yang diadakan selama tiga hari bermula semalam adalah inisiatif syarikat swasta, Al Ammara Management Sdn Bhd bagi memperkenalkan makanan tradisional Pahang dan membantu usahawan makanan serta minuman memperkenalkan produk masing-masing.

"Pelancongan gastronomi atau berkaitan makanan memang popular di negara Eropah, Amerika termasuk Thailand dan India kerana pelancong datang untuk menikmati makanan tradisional popular di sesuatu daerah," katanya pada sidang media selepas melawat program Jom Makan Pahang Food Festival, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Al Ammara Management Sdn Bhd, Nor Faeza Nordin. Sebanyak 122 pengusaha makanan dan minuman dari seluruh negeri, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur menyertai program yang berakhir esok dan dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pihak penganjur turut menyediakan baucar makanan dan minuman bagi 500 pengunjung pertama, selain mengadakan demonstrasi masakan tradisional dan persembahan kebudayaan.

Berita Harian X