Khamis, 5 Mei 2016 | 5:19pm

Sharifah ungguli kategori remaja boling Terbuka Malaysia


SHARIFAH Nadia Ali Hassan melakukan balingan pada Kejohanan Bowling Terbuka Malaysia kategori remaja ke-39 di Sunway Megalane Sunway Pyramid. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Sharifah Nadia Ali Hassan mengungguli kategori perempuan remaja saingan Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-39 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, hari ini.

Sharifah dari Sabah melakukan 1,691 jatuhan pin manakala naib juara Nur Ameerahusna Aznel dari Kedah (1,682) manakala tempat ketiga milik Nadia Pramanik dari Indonesia (1,681).

Kemenangan itu menyaksikan Sharifah membawa pulang hadiah kemenangan RM3,000, Nur Ameerahusna (RM2,000) dan Nadia (RM1,000).

Bagaimanapun, harapan melihat peserta negara mengungguli kategori remaja lelaki tidak kesampaian apabila pelapis kebangsaan, Tun Al Hakim Tun Hasnul Azam sekadar meraih tempat kedua.

Tun Al Hakim melakukan 1,702 jatuhan, tiga pin kurang daripada peserta Indonesia, Billy M Islam yang menjuarai acara itu manakala ketiga milik pemain dari Singapura, Muhammad Danial Zheng Yi (1,688).

Juara kategori lelaki menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000, naib juara RM3,000 dan ketiga RM2,000.

Berita Harian X