Sabtu, 30 April 2016 | 12:03am

Sayuran Lo Han Zai sinonim dengan masyarakat Cina


HIDEAKI Lim, bersama hidangan Nasi Poh Choo, Lo Han Zai dan Sup Teratai yang disediakan sempena Tahun Baharu Cina. - Foto Saifullizan Tamadi

MEMASAK umpama terapi diri, mencuba aneka resipi baharu untuk disajikan kepada yang tersayang. Tidak kira seringkas manapun masakan, air tangan sendiri tetap memberikan sentuhan istimewa.

Cita rasa air tangan sendiri, pastinya begitu dekat dengan di hati, dinikmati dengan enak, sekali gus mengeratkan tautan kekeluargaan. Apatah lagi, jika semakin jarang dapat berkumpul sesama sendiri.

Pereka fesyen siber terkenal, Hideaki Lim yang gemar memasak dan makan bersama keluarga, berkongsi resipi masakan sayur yang mudah disajikan serta berkhasiat. Resipi pilihan pereka ini sebenarnya, dekat dengan masyarakat Cina.

Kaya dengan khasiat

Bagi menyediakan hidangan ini, Hideaki banyak mengetengahkan penggunaan sayur kering dalam pek yang dibeli di pasar raya. Antara sayuran yang digunakan ialah

kacang panjang dan ubi teratai.

Katanya, penggunaan sayur-sayuran dalam masakan memang digalakkan kerana ia kaya dengan khasiat, sekali gus baik untuk kesihatan.

"Menu sayuran Lo Han Zai, begitu sinonim dengan masyarakat Cina yang terkenal dengan penggunaan sayuran herba yang memberi manfaat kepada kesihatan. Semua patut mencuba hidangan ini kerana ia mudah disediakan dan membawa kebaikan," katanya.


BAHAN-BAHAN untuk memasak Lo Han Zai, sempena Tahun Baharu Cina. - Foto Saifullizan Tamadi

Bahan-bahan;

200gram (g) pek sayuran (lima jenis sayuran)

5 batang kacang panjang (dihiris sederhana)

100g ubi teratai (di potong membulat)

Sesudu kicap pekat, sos tiram dan kicap cair

10g pak choi (sayuran herba yang direndam terlebih dahulu)

Sedikit gula perang dan lada sulah

5g bawang putih (dihiris halus)

5g bawang merah ( dihiris halus)

Langkah penyediaannya:

1. Tumis bawang merah hingga kekuningan dan naik bau.

2. Ulang langkah sama untuk menumis bawang putih.

3. Goreng sayur pucuk.

4. Masukkan sayur kacang dan ubi teratai, masak hingga lembut.

5. Masukkan sayur campuran lain.

6. Masukkan sos tiram, sedikit kicap dan kicap perasa

7. Masukkan pak choi.

8. Perasakan dengan gula perang

9. Masukkan lada sulah. Sedia untuk disajikan.

Berita Harian X