Jumaat, 29 April 2016 | 8:15am

Koo-Tan gagal tempah tiket ke Rio


PERJUANGAN beregu profesional negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

KUALA LUMPUR: Perjuangan beregu profesional negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk memburu slot ke Olimpik Rio, Ogos depan berakhir selepas kekalahan mereka di pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (ABC), semalam.

Bekas juara Seluruh England 2007 itu yang perlu sekurang-kurangnya muncul juara dalam kejohanan berkenan akur apabila tewas kepada pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 13-21, 18-21 dalam aksi di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China.

Jurulatih pasangan itu, Lee Wan Wan mengakui dia dan anak didiknya kecewa dengan keputusan itu namun menegaskan Kien Keat-Boon Heong sudah melakukan yang terbaik bagi memburu tempat ke Rio.

"Apa yang paling penting, mereka sudah bekerja keras sepanjang kempen kelayakan dan hidup tetap perlu diteruskan. Mereka akan menggalas cabaran Malaysia pada Piala Thomas (15 hingga 22 Mei) dan mereka perlu bersedia.

"Terima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana beri kepercayaan kepada Kien Keat-Boon Heong untuk mewakili negara," kata Wan Wah.

Kien Keat-Boon Heong gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki susulan kekalahan beregu lelaki utama negara yang juga pencabar rapat mereka untuk slot Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di pusingan pertama, kelmarin.

Sementara itu, hanya tinggal jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengibarkan cabaran Malaysia di Wuhan apabila layak ke suku akhir selepas menewaskan Wong Wing Ki dari Hong Kong 23-21, 21-12.

Dia akan berdepan pilihan keenam kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen dalam perebutan tempat ke separuh akhir, hari ini.

"Walaupun saya bergelut di set pertama, saya gembira kerana berjaya mengurangkan kesilapan dan bermain lebih konsisten di set kedua. Saya akan bertemu Tien Chen dan saya harap akan kekal fokus untuk memenangi perlawanan," kata Chong Wei.

Tiga lagi wakil negara, Zulfadli Zulkifli (perseorangan lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran) gagal meneruskan kemaraan selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Berita Harian X