Jumaat, 29 April 2016 | 6:47am

Gaya hidup sihat bantu pekerja kurang tekanan


Semalam adalah Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia. Hari OSH disambut pada 28 April setiap tahun untuk memperingati pekerja yang maut serta cedera dan mengenang mangsa kemalangan dan penyakit berkaitan pekerjaan. Malaysia anggap Hari OSH Sedunia sebagai penting dalam misi dan strategi negara menggalakkan budaya keselamatan dan kesihatan berlandaskan pencegahan di tempat kerja.

Tema Hari OSH Sedunia tahun ini ialah 'Tekanan Kerja: Satu Cabaran Kolektif.' Tekanan kerja atau stres adalah lumrah di tempat kerja disebabkan tuntutan persekitaran kerja kontemporari. Bagaimanapun, stres berlebihan dan tidak terurus boleh beri kesan buruk terhadap kesihatan pekerja kerana boleh menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal individu.

Stres berkaitan kerja adalah antara isu paling mencabar dalam OSH hari ini kerana ia beri kesan besar ke atas kesihatan pekerja, produktiviti organisasi dan ekonomi negara. Stres, jika tidak diurus dengan baik, boleh merugikan pekerja dan organisasi. Ia boleh dilihat daripada ketidakhadiran pekerja atau pekerja bertugas walaupun sakit.

Kadar kemalangan meningkat

Ia juga boleh membawa kepada peningkatan kadar kemalangan dan kecederaan di tempat kerja serta menyebabkan masalah mental seperti keresahan dan kemurungan pekerja. Stres berpanjangan pula boleh jejaskan fizikal seperti penyakit kardiovaskular dan gangguan muskuloskeletal. Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan 2015 mendapati masalah kesihatan mental lebih tinggi dalam kalangan orang muda. Mereka dalam kumpulan umur 16-19 tahun menyumbang 34.7 peratus kepada masalah mental sementara kumpulan umur 20-24 menyumbang 32.1 peratus.

Kajian mendapati peratusan masalah mental kumpulan umur 16 tahun ke atas ialah 29.2 peratus. Ini peningkatan ketara berbanding kajian sama pada 2006 iaitu 11.2 peratus. Ia juga mendedahkan masalah mental orang dewasa banyak dialami mereka daripada isi rumah berpendapatan rendah. Masalah mental paling rendah ialah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan separa kerajaan.

Sihat mental ditakrifkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai keadaan seseorang individu boleh capai potensi diri, mampu hadapi tekanan biasa setiap hari, bekerja secara produktif dan menyumbang kepada masyarakat. Pekerja harus berada dalam keadaan mental baik untuk membolehkan mereka berfungsi lebih baik.

Perubahan struktur kerja juga menyumbang risiko psikososial di tempat kerja di mana pekerja menghadapi tekanan lebih besar untuk memenuhi permintaan tugas, peningkatan persaingan dan harapan lebih tinggi. Persaingan global dan peningkatan fleksibiliti pasaran buruh mewujudkan lebih banyak jenis pekerjaan yang tidak menentu dan tiada jaminan.

Ini menyebabkan stres. Kelembapan ekonomi juga boleh menimbulkan risiko psikososial di tempat kerja di mana organisasi mengalami penyusunan, penstrukturan semula atau pengecilan dan pekerja diberhentikan kerja, kurangnya jaminan pekerjaan, peluang pekerjaan lebih rendah, kurang kestabilan kewangan dan peningkatan hutang peribadi.

Stres berlaku apabila tuntutan dan tekanan kerja tidak sepadan dengan pengetahuan pekerja, kemampuan dan keupayaan menghadapi keadaan di tempat kerja. Kelemahan struktur kerja, organisasi kerja dan pengurusan boleh cetus risiko psikososial terhadap pekerja dan memberi kesan negatif seperti stres berkaitan dengan pekerjaan, 'burn-out' dan kemurungan.

Penyebab stres termasuk beban kerja berlebihan, peranan kurang jelas atau bercanggah, pekerjaan tiada jaminan, organisasi tidak diuruskan dengan baik, kurangnya sokongan pihak pengurusan tinggi dan komunikasi lemah. Faktor lain termasuk konflik peribadi individu, penderaan fizikal atau psikologi, gangguan seksual, keganasan dan kurang sokongan rakan dan pasangan dalam mengimbangkan pekerjaan dan keluarga.

Organisasi perlu laksana pelan mencegah atau mengurangkan stres dan mewujudkan persekitaran psikososial sihat. Adalah perlu untuk membentuk fungsi organisasi dan budaya yang boleh ringankan stres di tempat kerja.

Majikan perlu laksana pendekatan pengurusan risiko seperti analisis keadaan, merangka pelan tindakan mengurangkan risiko, melaksanakan pemeriksaan bagi pengesanan awal dan menyediakan carta aliran untuk pengurusan dan rujukan.

Dalam persekitaran kerja mencabar, perlu mengukuhkan sokongan sosial di tempat kerja. Kumpulan sokongan rakan sebaya boleh bantu kurangkan tekanan, kebimbangan dan kerisauan pekerja. Untuk pengurusan stres peringkat individu, pekerja perlu berusaha meningkatkan komunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah, mahir mengendali rasa marah dan mengurus masa dengan baik.

Belajar teknik kurangkan tekanan serta amal gaya hidup sihat dapat bantu pekerja menghadapi stres. Pengurusan stres yang baik akan mewujudkan persekitaran kerja sihat dan pekerja berasa dihargai, budaya tempat kerja lebih positif dan prestasi perniagaan bertambah baik kerana pekerja lebih produktif dan pelanggan dilayan lebih baik serta keperluan mereka dipenuhi.

* Penulis ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

Berita Harian X