Jumaat, 31 Oktober 2014 | 8:11am

Sarjana arkeozoologi Inggeris pulihara ekosistem tempatan

SEGALANYA bermula apabila beliau menerima tawaran untuk bekerja di Muzium Sarawak pada tahun 1956 dengan kajian awal adalah mengenai burung walet di Gua Niah. Beliau kemudian melangsungkan penyelidikan itu sehingga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah.

Kajian itu seterusnya mengikat minat beliau dalam bidang biologi dengan terbabit dalam pemuliharaan dan kepelbagaian bio di negara ini. Selain itu, beliau juga antara tokoh yang membangunkan bidang arkeozoologi di negara ini dengan menghasilkan beberapa kajian. "Semua ini saya lakukan kerana minat terhadap bidang ini," kata Earl of Cranbrook kelima, Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy.

Beliau adalah penerima Anugerah Merdeka 2014 bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia yang disampaikan bulan lalu. "Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Cambridge saya bertemu dengan Kurator Muzium Sarawak, Mejar Tom Harnett Harrisson, pada satu majlis yang diadakan di Cambridge.

Kebetulan saya mengenali beliau kerana ada hubungan keluarga dan beliau bertanya adakah sesiapa berminat bekerja di Muzium Sarawak. "Saya melihat ia sebagai satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan dan Asia bukanlah baharu bagi saya kerana bapa saya pernah bertugas di beberapa negara antaranya India dan dengan tambang sebanyak 108 pound, saya memulakan perjalanan dengan kapal Blue Funnel Line ke Singapura yang mengambil masa selama 28 hari.

"Di Singapura saya bertemu dengan Harrisson dan kemudian menyambung perjalanan dengan menaiki bot ke Kuching, Sarawak selama tiga hari dua malam. Rasanya ada tak orang muda masa kini yang sanggup menempuh perjalanan sebegitu," katanya diiringi tawa pada pertemuan yang berlangsung di Menara Berkembar PETRONAS, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gaji RM300

Tambah beliau, dengan gaji sebanyak RM300 pada waktu itu, ia cukup untuk memberikan kehidupan sederhana buatnya di samping tugas yang dikatakannya amat menyeronokkan selain dapat melakukan kajian yang cukup menarik.

Tugas yang diberikan memungkinkan beliau mengenal pasti beberapa spesies burung ini dan ia dilakukan dengan mengenal pasti sarang burung berkenaan. "Berlaku kecelaruan dalam mengenal pasti spesies burung ini.

Untuk itu saya mula mengasingkannya mengikut jenis sarang yang dihasilkan kerana sarang tertentu dihasilkan burung walet tertentu dan saya dapati burung yang menghasilkan sarang paling putih adalah jenis yang memakan lumut.

Kerja berikutnya adalah membuat penyelidikan bertulis mengenainya," katanya. Namun apa yang lebih menarik, kerja penyelidikan ini membolehkan Gathorne melengkapkan pengajian doktor falsafahnya hanya dalam dua tahun kerana penyelidikan awal yang sudah dilaksanakan.

"Selepas dua tahun melakukan kajian, saya pulang ke England dan memanjangkannya ke University of Birmingham dan dengan apa yang sudah dilaksanakan saya dapat meneruskan pengajian ke peringkat PhD dan melengkapkannya lebih awal," katanya yang memiliki ijazah pertama dalam bidang biologi dan falsafah.


Earl of Cranbrook kelima, Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy. - Foto Nik Rosli Ishak

Burung walet mengagumkan

Melalui kajian dijalankan, beliau mendapati burung walet adalah burung yang mengagumkanyang menghasilkan sarang yang boleh dimakan dan apa yang menarik ialah keupayaannya mengenal pasti Gua Niah sebagai tempat untuk membuat sarang selepas meninggalkannya buat seketika.

Kini, selepas lebih 50 tahun melakukan penyelidikan dalam bidang ini, beliau menyaksikan pelbagai perubahan terhadap burung ini dengan satu yang ketara adalah bagaimana ia dikomersialkan dan menghuni bangunan yang dibina khas untuk sarangnya. "Bagaimana burung ini dipelihara untuk mendapatkan sarangnya adalah sesuatu yang memerlukan kajian dan ia terjadi kerana interaksi antara manusia dengan mergastua ini yang menyebabkan berlaku keadaan ini.

"Apa yang saya lihat adalah terdapat dua spesies burung ini yang digunakan untuk tujuan komersial iaitu satu spesies ditemui di kawasan utara Thailand, manakala satu spesies lagi ditemui di kawasan selatan Kepulauan Jawa. "Ia bertemu di tengah, namun pada masa sama, kajian terhadap burung ini yang tinggal di gua juga patut diteruskan kerana apa yang saya lihat ia mendapat ancaman daripada persekitarannya," katanya.

Gathorne bagaimanapun enggan mengulas sama ada proses memelihara burung walet untuk tujuan komersial baik atau sebaliknya dan menjelaskan perkara ini berlaku kerana interaksi antara manusia dan burung ini selain ia memperlihatkan suatu perkara yang agak menggetarkan dalam dunia biologi.

Lanjut semula kajian burung walet

Justeru katanya, melalui hadiah dalam bentuk kewangan yang diperoleh daripada anugerah yang diterimanya itu, beliau bercadang melanjutkan semula kajian terhadap burung walet dengan melihat kesan alam sekitar terhadap amalan 'pemeliharaan' burung berkenaan yang berlaku sekarang. "Bagaimanapun, pada masa sama adalah penting untuk kita terus memelihara burung walet yang tinggal di gua," katanya.

Katanya, beliau pernah melakukan kajian bersama pelajar Universiti Malaya mengenai spesies burung walet di Raub, Pahang, yang kehadirannya menimbulkan sedikit gangguan kepada penduduk dan bagaimana ia bersaing dengan burung layang-layang penghijrah. "Penyelidikan semula di Raub ingin saya lakukan kerana burung layang-layang penghijrah yang datang dari China dan Korea ke sini ketika musim sejuk di sana, bersaing dari segi makanan dengan burung walet dan adakah burung walet ini memakan sebahagian besar serangga yang turut menjadi makanan burung layang-layang. Ini sesuatu yang amat menarik untuk dilakukan," katanya.

Gathorne menambah, beliau juga akan Sabah bagi melanjutkan kajian mengenai burung walet Bangunan khas dibina untuk menarik perhatian burung walet membuat sarang. yang tinggal di gua bagi melihat burung ini yang hidup secara liar. "

Inilah yang menariknya mengenai hadiah yang saya terima kerana saya boleh melakukan kajian yang ingin saya lakukan dan bukannya melakukan kajian yang orang suruh," katanya yang memperlihatkan rasa puas terhadap apa yang dilakukan selama ini dalam bidang kajian burung walet. Selain kajian terhadap burung walet, Gathorne juga adalah satu nama besar dalam bidang arkeozoologi dan menganggap ia satu bidang kajian yang sangat menarik.

"Seperti kajian terhadap burung walet, pembabitan saya dalam bidang ini juga pada mulanya kerana pekerjaan, namun saya melihatnya sebagai sesuatu yang mengasyikkan kerana bidang ini seperti menyusun jigsaw puzzle," katanya. Melalui tulang-tulang yang dijumpai, katanya ia memberi banyak petunjuk terhadap keadaan haiwan tertentu dan bagaimana ia berada di satu-satu tempat dan inilah yang menarik mengenai kajian dalam bidang ini.

Untuk itu katanya, melalui projek yang akan dilaksanakan beliau bercadang memperkenalkan semula tapir di Borneo yang menurutnya semakin pupus melalui data-data terkumpul mengenai haiwan berkenaan. Jelasnya, rekod mengenai tapir dicatatkan sekitar tahun 1974 oleh seorang pegawai Jabatan Perhutanan Sabah dan persidangan mengenai haiwan ini juga pernah dianjurkan yang memperlihatkan bahawa haiwan ini sangat menarik untuk dikaji.


GUA Niah pilihan burung walet membuat sarang. - Foto hiasan

Pusat Konservasi Tapir

Katanya, di Semenanjung terdapat pusat konservasi haiwan ini yang dikenali sebagai Pusat Konservasi Tapir di Sungai Dusun, Hulu Selangor dan melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah, Gathorne mahukan perkara sama dilaksanakan bagi membolehkan haiwan ini dapat dilihat emula di Sabah dan Sarawak.

Katanya, daripada maklumat beliau peroleh daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), terdapat kira-kira 1,000 ekor tapir di Semenanjung dan setiap tahun kira-kira tujuh ekor mati kerana dilanggar kenderaan apabila haiwan ini mencari makan di kawasan jalan raya. "Haiwan ini mampu dikekalkan di Sabah kerana mereka mempunyai rizab haiwan ini dan ini adalah sesuatu yang sangat menarik," katanya.

Gathorne juga berkongsi pengalaman yang dianggapnya sangat mengujakan ketika melawat Pusat Konservasi Tapir Sungai Dusun tahun lalu apabila seekor tapir menjilat tangannya ketika beliau memberi makan haiwan berkenaan yang disifatkannya sesuatu yang sangat mengesankan.

Usaha pemeliharaan biodiversiti membanggakan

Jelasnya, statistik mengenai jumlah tapir yang semakin berkurang di Sabah agak membimbangkan, justeru sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan semula haiwan yang sangat jinak ini. Dengan pelbagai kajian dilakukan, Gathorne menyifatkan, usaha pemeliharaan biodiversiti di negara ini agak membanggakan.

Bagi sawit contohnya, pertanian mapan yang dilaksanakan membolehkan hutan terus terpulihara di Sabah dan Sarawak dan pada masa sama membekalkan serangga untuk keperluan haiwan berkaitan termasuk burung walet. Begitu juga mengenai peratusan hutan dikawal yang membolehkan kehijauan terus kekal di negeri berkenaan.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat menjelaskan berapa jumlah sebenar yang perlu dikekalkan kerana baginya ia bergantung kepada keadaan dan apa yang ada di sesebuah kawasan itu. Mengakhiri perbualan hari itu, Gathorne berkata, hadiah kewangan bersama Anugerah Merdeka yang diterimanya adalah satu pengiktirafan yang disifatkannya sebagai sesuatu yang membantunya alam meneruskan kajian terhadap bidang yang diminati.

"Saya tidak menyangka menerima pengiktirafan ini dan menganggapnya sesuatu yang sangat menarik," katanya.

Berita Harian X