Selasa, 26 April 2016 | 9:41am

Pertumbuhan ekonomi Korea perlahan pada suku pertama

SEOUL: Ekonomi Korea Selatan lebih perlahan pada suku pertama disebabkan kelembapan dalam eksport memberi kesan kepada pelaburan korporat manakala pengguna lebih berhemah berbelanja.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menokok 0.4 peratus daripada suku sebelumnya, kata Bank of Korea, bertepatan kaji selidik Bloomberg. Ekonomi negara itu berkembang 2.7 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Kadar pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada suku dikaji sungguhpun kerajaan negara itu mengambil langkah perbelanjaan fiskal dan mengenakan diskaun ke atas cukai kenderaan untuk separuh pertama tahun ini.

Bank pusat negara itu merendahkan unjuran KDNK bagi 2016 kepada 2.8 peratus daripada tiga peratus pada 19 April lalu, menyebut kelemahan ekonomi pada tiga bulan pertama tahun ini.

Gobenor Lee Ju Yeol, berkata ekonomi akan pulih secara berperingkat mulai suku semasa.

"Eksport yang lembap menjurus kepada pelaburan yang rendah, dan kesan pelaksanaan dasar kerajaan tahun lalu seperti bajet tambahan semakin pudar," kata Park Sang Hyun, ketua ahli ekonomi di HI Investment & Securities Co di Seoul.

"Pengurangan cukai kepenggunaan, sungguhpun sekarang disemak, digantung buat seketika."

Kemudahan pelaburan susut 5.9 peratus daripada suku sebelumnya, demikian menurut data, manakala eksport menguncup 1.7 peratus.

Perbelanjaan swasta pula jatuh 0.3 peratus. Kerajaan berbelanja sehingga 1.3 peratus dan pelaburan pembinaan berkembang 5.9 peratus.

Eksport Korea Selatan jatuh untuk 15 bulan berturut-turut dan dijangka susut lagi bulan ini, demikian menurut angka April 1-20 yang dikeluarkan pejabat kastam. - Bloomberg

Berita Harian X