Ahad, 24 April 2016 | 12:18am
MOHD Faisal meletakkan daging lembu dalam rumah asap yang dibina sendiri. - Foto Aizuddin Saad
DAGING lembu salai yang dimasak masak lemak cili api. - Foto Aizuddin Saad
DAGING lembu dan ayam disalai di dalam rumah asap. - Foto Aizuddin Saad

Smoky Salai sasar pasar raya mega


KAJANG: Kekurangan makanan berasaskan salai seperti daging dan ikan yang suci lagi halal memberi ilham kepada tiga sahabat untuk menceburi perniagaan dalam bidang itu.

Menggunakan jenama Smoky Salai, tiga sahabat itu, Fadhlizil Ikram Zam Zam, Mohd Faisal Mohd Saat dan Khairul Izham Yusuff, masing-masing berusia 33 tahun mula mengusahakannya bagi menawarkan produk salai pada harga berpatutan.

Daging salai misalnya bukan bahan asing bagi kebanyakan rakyat negara ini khususnya untuk dibuat masak lemak cili api atau dicicah sambal belacan.

Berikutan populariti daging salai, ada peniaga mengambil kesempatan dengan menjual produk itu pada harga tinggi, tidak kurang yang menipu pelanggan apabila mendakwa menjual daging salai sedangkan sebenarnya hanya menjual daging panggang biasa.

Segalanya bermula apabila Fadhlizil berkunjung ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi menghadiri majlis pertunangan adik iparnya.

Fadhlizil berkata menyusuri jalan-jalan kampung di daerah berkenaan menemukannya dengan banyak perusahaan produk salai seperti daging, itik dan ikan keli.


FADHLIZIL (kanan) dan Mohd Faisal menunjukkan bungkusan produk makanan daging salai jenama Smoky Salai. - Foto Aizuddin Saad

Ia memberikannya idea, mengapa tidak perusahaan terbabit dikembangkan secara komersil dan moden, apatah lagi apabila mengetahui produk salai menerima sambutan yang amat menggalakkan di pasaran.

Cadangan terbabit dikongsi bersama Mohd Faisal dan Khairul Izham. Ia dianggap tepat pada masa kerana pada ketika itu juga, Faisal sedang menanggung kerugian apabila tanaman cili yang diusahakan berakhir dengan kegagalan.

"Saya ketika itu masih bertugas sebagai juruteknik teknologi maklumat (IT) dengan sebuah syarikat antarabangsa.

"Apabila idea itu dikemukakan pada Faisal dan Khairul, mereka setuju untuk mencuba dan itu adalah titik tolak kemunculan Smoky Salai dalam pasaran tempatan," katanya ketika ditemui di premis perniagaan mereka di sini baru-baru ini.

Ikram memberitahu, perniagaan mereka yang bermula Mei tahun lalu pada awalnya mengambil tempat di kediaman Faisal di Taman Saujana Impian di sini.


MEREKA memulakan perniagaan dengan rumah salai kecil berharga RM500. - Foto Aizuddin Saad

"Sewaktu beroperasi di Taman Saujana Impian, rumah salai kami hanya diperbuat dari papan dengan kos tidak lebih dari RM500.

"Kami bertiga berkongsi modal yang dianggarkan lebih kurang RM5,000 untuk membeli pemotong daging, pembungkus vakum dan peti sejuk," katanya.

Smoky Salai pada masa itu juga katanya, hanya berupaya menghasilkan 100 sehingga 150kg daging salai sebulan sebelum berpindah ke premis baru menjelang November tahun yang sama.

Perpindahan mereka ke lokasi baru memberi peluang kepada Smoky Salai untuk bergerak pada skala besar, apatah lagi kemudahan yang disediakan juga lebih pelbagai.

Tiga sahabat itu turut membuat sedikit pelaburan bagi membina dua rumah salai dengan anggaran kos hampir RM10,000 bagi menambah jumlah penghasilan.

Dilengkapi dengan peralatan lebih berkualiti seperti dulang tahan karat dan tempat unggun api yang lebih besar, kedua-dua rumah salai itu mampu menghasilkan antara 200 hingga 250kg produk salai setiap bulan.


HIDANGAN produk Smoky, daging ayam salai yang dimasak dengan kacang panjang. - Foto Aizuddin Saad

"Di premis baru di Sungai Ramal Luar ini, kami juga mula melakukan eksperimen dengan bahan salai lain seperti ayam kampung, itik, ikan keli dan burung puyuh.

"Berbeza dengan produk salai lain, Smoky Salai didatangkan dalam konsep sejuk beku bagi memastikan ia tahan lebih lama," katanya.

Sementara itu Mohd Faisal berkata, selain faktor ketahanan, konsep sejuk beku menjadi pilihan berikutan harga bahan mentah yang lebih rendah berbanding bahan mentah segar.

"Bekalan daging lembu beku kami dapati dari luar negara manakala bahan lain seperti burung puyuh, itik dan ayam kampung adalah produk tempatan.

"Bagaimanapun, hanya daging lembu sahaja yang kami gunakan produk sejuk beku, produk lain kami gunakan bahan segar kerana ia mudah didapati pada harga yang berpatutan," katanya.

Faisal berkata, semua produk dihasilkan Smoky Salai menerima permintaan yang amat menggalakkan daripada pengguna walaupun perusahaan dijalankan itu masih dianggap 'tidak seberapa'.


BUNGKUSAN produk makanan daging salai yang diberi jenama Smoky Salai. - Foto Aizuddin Saad

"Kami menghasilkan pendapatan lebih kurang RM8,000 sebulan ketika ini hasil kerjasama semua stokis dan ejen di sekitar Lembah Kelang.

"Kami juga tiada wadah pengiklanan khusus, hanya bergantung sepenuhnya kepada berita dari mulut ke mulut dan media sosial seperti Facebook," katanya.

Ditanya mengenai sasaran perniagaan, Faisal memberitahu pihaknya merancang menambah pilihan produk, antaranya ayam Belanda, ikan salmon, pes salai dan produk salai di dalam tin.

"Ikram yang kami anggap sebagai tukang cipta resipi sedang dalam proses mencipta pes salai, yang boleh memberi aroma salai dalam masakan.

"Mungkin selepas berjaya mencipta ramuan yang sesuai, kami akan pasarkan ia dalam bentuk serbuk bagi membolehkan ia tahan lebih lama," katanya.

Smoky Salai juga katanya, sedang dalam proses untuk mendapatkan persijilan yang sesuai bagi membolehkan ia menembusi pasaran di pasaraya besar seperti Giant, Aeon dan Tesco.

Berita Harian X