Sabtu, 23 April 2016 | 12:01am
HIDANGAN istimewa Mi Jawa Haslam di Restoran Haslam. - Foto Saifulizan Tamadi
Mi Bandung Haslam.
HIDANGAN istemewa Mi Kari Haslam di Restoran Haslam. - Foto Saifulizan Tamadi
TAPAI Pulut Haslam.
JUS Epal dan Oren di Restoran Haslam. - Foto Saifulizan Tamadi
HIDANGAN istimewa Cucur Bawang Haslam di Restoran Haslam. - Foto Saifulizan Tamadi

Lempeng sajian popular di Restoran Haslam Jalan Bangsar


PELANGGAN di Restoran Haslam Kerinchi. - Foto Saifulizan Tamadi

KEENAKAN sajian petang makanan Melayu tradisional, terutama aneka jenis lempeng seperti lempeng manis, lempeng pisang, ubi, kelapa dan lempeng kosong dicicah dengan sambal bilis menjadi bualan dan sentiasa dicari-cari oleh warga kota.

Lempeng adalah air tangan warisan bonda Restoran Haslam sudah bertapak di ibu kota sejak 1984, dengan lokasinya tertumpu sekitar Hospital Tawakkal, berdekatan bulatan Pahang, Kuala Lumpur. Terbaharu, Restoran Haslam membuka cawangan baru di Jalan Bangsar yang diselia oleh Mohd Taj @ Nor Haslam adik kepada penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Yusof Haslam.

Lokasi baharu ini masih menawarkan hidangan sama seperti restoran asal.

Ketika kunjungan bersama jurugambar baru-baru ini, penulis gagal merasa penangan lempeng berikutan sudah habis dalam tempoh kurang satu jam.

Mohd Taj berkata, lebih 200 lempeng pisang disediakan setiap hari dan ia memang sangat laris.

Katanya, kalau mahu merasa penangan lempeng Haslam, pelanggan harus datang awal daripada waktu makan petang sekitar pukul 2 atau 3 petang.


PEMILIK Restoran Haslam Mohd Taj @ Nor Haslam (tengah) berbincang mengenai masakan yang disediakan. - Foto Saifulizan Tamadi

"Kalau lambat sikit, memang tidak merasalah (lempeng). Cepat habis. Kadang-kadang seorang pelanggan ambil dua tiga jenis lempeng.

"Paling popular, lempeng pisang. Mungkin rasanya manis berlemak membuatkan jadi kesukaan ramai," katanya.

Mohd Taj menjelaskan, penggemar lempeng tidak mengira usia bahkan, dimakan pelbagai golongan daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa.

Cucur bawang, 30 jenis lauk pauk

Pengurus Restoran Haslam Jalan Bangsar, Ain Amirah Mohd Taj berkata, menyediakan beberapa hidangan untuk makan petang yang mendapat permintaan tinggi seperti mi kari, mi bandung Haslam, laksa Opah, tapai pulut, bubur pulut hitam, cucur bawang dan pisang goreng.

Dia mencadangkan makanan berkenaan kepada pelanggan yang bertandang untuk makan petang kerana bukan sahaja sedap, tetapi rendah kalori dan mudah dimakan.


RESTORAN Haslam Kerinchi menyediakan pelbagai hidangan tradisional. - Foto Saifulizan Tamadi

Penulis yang mencuba kuih muih itu mengakui, setiap juadah petang yang disediakan itu memang menyelerakan terutama ketika masih 'panas-panas'. Terasa seolah-olah berada di kampung. Bagi penulis, setiap kuih yang ditawarkan di sini mempunyai resipi adunan yang berupaya menambat penggemar selera makanan tradisi Melayu.

Mi bandung Haslam misalnya, disediakan hasil warisan turun temurun resipi rahsia bonda pemilik berasal dari Ipoh, Perak menggunakan pes istimewa yang menawarkan aroma wangi dan membangkitkan selera.

Rasanya lemak berkuah dengan taburan bahan tambahan cili, limau nipis, bawang goreng dan udang.

Selain itu, Ain berkata, untuk menu tengah hari, Restoran Haslam Jalan Bangsar menyediakan 30 jenis lauk pauk seperti gulai tempoyak ikan patin Sungai Lui, ikan masam manis, gulai lemak nenas, gulai kambing dan kerabu pucuk paku pakis (sekadar menyebut beberapa hidangan).

Pelanggan yang singgah pada waktu malam boleh memesan makanan panas dan bergoreng kerana restoran ini beroperasi setiap hari bermula 7 pagi hingga 11 malam.


AIN Amirah Mohd Taj bersama hidangan istimewa di Restoran Haslam Bangsar. - Foto Saifulizan Tamadi

INFO
Restoran Haslam

Lokasi: Jalan Bangsar, Kuala Lumpur

Tema: Merah Hitam

Menu Istimewa: Lempeng, mi bandung Haslam, laksa Opah dan gulai tempoyak ikan patin Sungai Lui.

Waktu Operasi: 7 pagi - 11 malam.

Berita Harian X