Jumaat, 22 April 2016 | 12:07am

Celupan iman kekuatan Muslim

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah wahai orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah: (Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang ? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadah." (Surah al-Baqarah, ayat 138)

Allah SWT telah mencipta dan mewarnai orang yang beriman dengan persediaan jiwa untuk menerima kebenaran serta beriman kepada ajaran Nabi dan Rasul. Mereka tidak akan mengikut pemimpin, hawa nafsu dan tradisi yang dicipta secara membuta tuli.

Itulah perhiasan yang mereka pakai untuk menghiasi diri seperti baju dihias beraneka corak dan warna. Tidak ada seorangpun yang celupannya lebih baik daripada celupan Allah SWT kerana Dialah Tuhan yang menghiasi dan mewarnai jiwa hamba-Nya dengan keimanan.

Membersihkan jiwa mereka daripada daki kekufuran dan menyelamatkan mereka daripada kesyirikan. Celupan Allah SWT meliputi seluruh kebaikan dan menjadi tali pengikat penyatuan semua hati serta bangsa untuk menjernihkan semua jiwa.

Allah SWT menggunakan perkataan sibghah yang membawa maksud celupan. Sibghatallah membawa pengertian celupan agama Allah. Ia adalah celupan yang menjadikan manusia itu beriman dengan keimanan penuh ikhlas kepada Allah SWT. Inilah celupan yang sebenarnya iaitu celupan iman dan Islam dengan menjadikan seseorang itu betul-betul beriman serta mengikut ajaran Islam yang sebenarnya. Selain daripada celupan ini, semua hanya celupan yang batil.


SIBGHATALLAH adalah celupan yang menjadikan manusia itu beriman dengan keimanan penuh ikhlas kepada Allah SWT. - Foto hiasan

Mengikut Ibnu Abbas, sibghatallah ditafsirkan sebagai agama Allah kerana orang yang telah beragama ibaratnya telah dicelup. Maka tanda agama itu telah melekat dan kelihatan terlekat di sisi pemeluknya, sebagaimana tanda celupan itu nampak di baju, kemudian celupan itu tidak akan berpisah lagi daripadanya.

Terdapat juga sebahagian ulama tafsir yang memberi pengertian sibghatallah sebagai fitratallah iaitu suatu kesucian yang sesuai dengan fitrah atau tabiat manusia. Hal ini mengikut Islam, bayi yang baru dilahirkan adalah bersih, tidak berdosa.

Sama ada sibghah di sini diertikan dengan agama Allah atau fitrah Allah, kedua-duanya bermaksud kesucian Islam daripada syirik. Kesucian itu bermula sejak seorang bayi itu dilahirkan lagi.

Sabda Rasulullah SAW: "Setiap bayi dilahirkan di atas fitrah, ibu bapanya menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi, sebagaimana binatang melahirkan binatang, adakah kamu nampak padanya (binatang melahirkan binatang) sebarang kecacatan." (Riwayat al-Bukhari)

Maka celupan Allah SWT itu adalah celupan fitrah iaitu celupan orang yang beriman. Menjadi orang yang beriman dan Islam itulah sebenar-benarnya celupan. Agama Yahudi dan Kristian tidak menganggap suci sebelum bayi itu dilakukan upacara khas bagi pengyahudian atau pengkristianannya.

Mereka mempercayai kanak-kanak yang baru lahir itu sememangnya telah bergelumang dengan dosa dan kekotoran maksiat, justeru kanak-kanak itu perlu dibaptiskan untuk dibersihkan daripada segala kekotoran.


ALLAH SWT telah mencipta dan mewarnai orang yang beriman dengan persediaan jiwa untuk menerima kebenaran serta beriman kepada ajaran Nabi dan Rasul. - Foto hiasan

Berbeza dengan ajaran Islam, Allah SWT menjelaskan Islam tidak menetapkan amalan khusus yang dapat membezakan seorang Muslim dengan yang lain seperti tindakan orang Nasrani. Sebaliknya, yang penting ialah celupan Allah SWT terhadap fitrah yang sejahtera, iaitu ikhlas dan cinta kepada kebenaran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah ar-Rum, ayat 30)

Ayat ini memberi kefahaman kepada orang Islam apabila diajak masuk agama lain, dipujuk mengikuti fahaman atau ideologi bertentangan Islam, hendaklah dia mengingati agama Islam yang dianutinya lebih baik kerana agama Islam itu sibghahllah, dia tidak perlu mencemarkan sibghah itu dengan sibghah yang lain.

Justeru, umat Islam mempunyai kekuatan akidah yang sudah menapak dalam hati. Apabila kekuatan seperti itu ada pada setiap Muslim, mana mungkin mereka mudah dipengaruhi aliran dan ajaran yang bertentangan dengan Islam.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X