Khamis, 21 April 2016 | 12:09am

Sherlock Holmes terus popular


SIR Arthur Conan Doyle

POPULARITI watak Sherlock Holmes yang dicipta oleh pengarang British, Arthur Conan Doyle ternyata mekar hingga kini walaupun muncul pada 1887 menerusi A Study in Scarlet sebagai karya sulung.

Bukan saja siri Sherlock Holmes itu sudah dicetak berulang kali, ia juga banyak kali diangkat sebagai filem dan siri televisyen yang sehingga kini masih menduduki carta tontonan tertinggi.

Populariti naskhah klasik tulisan pengarang kelahiran Edinburgh ini menyaksikan ramai yang beranggapan, Sherlock Holmes adalah kisah tentang tokoh penyiasatan sebenar meskipun ia sebenarnya hanya watak rekaan Doyle. Hingga kini, kisah klasik ini masih menjadi bacaan di seluruh dunia.

Terbaharu, The Complete Illustrated Sherlock Holmes setebal 1,407 halaman memasuki pasaran negara ini yang diedarkan secara eksklusif oleh rangkaian kedai buku Popular. Naskhah ini ialah kompilasi karya Doyle yang memuatkan empat novel dan lima cerpennya.

Membesar dengan Sherlock Holmes

Tidak dinafikan, sebahagian pembaca membesar dengan kisah Sherlock Holmes yang digambarkan sebagai penyiasat pintar sementara rakan dan pembantunya Dr John Watson dikenali sebagai narator dalam kebanyakan novel terbabit.

Antara novel yang dimuatkan dalam naskhah eksklusif ini termasuklah A Study in Scarlet, The Sign of the Four, The Hound of the Baskervilles dan The Valley of Fear.

The Hound of the Baskervilles, novel ketiga tulisan Doyle asalnya disiarkan secara bersiri di majalah The Strand dari Ogos 1901 hingga April 1902 dianggap sebagai naskhah terbaik daripada siri Sherlock Holmes.

Berlatarbelakangkan Devon, ia adalah kemunculan semula Sherlock Holmes selepas dipercayai mati dalam The Final Problem.

Dunia 'kerja' penuh misteri

A Study in Scarlet Is sebagai karya yang menyaksikan kemunculan pertama watak berkenaan yang kemudiannya hari ini menjadi naskhah klasik wajib baca.

Judul itu juga dipetik daripada kata-kata Sherlock Holmes kepada Dr Watson ketika bercerita tentang dunia 'kerjanya' yang penuh dengan misteri.

Sementara itu, lima cerpen yang terpilih daripada 56 karya tulisan Doyle ialah The Adventures of Sherlock Holmes, The Memoirs of Sherlock Holmes, The Return of Sherlock Holmes, His Last Bow dan The Case-Book of Sherlock Holmes.

Justeru, The Complete Illustrated Sherlock Holmes ini seharusnya menjadi pilihan kepada penggemar Holmes dan naskhah klasik Inggeris.


BUKU The Complete Illustrated Sherlock Holmes.

INFO

  • The Complete Illustrated Sherlock Holmes
  • Penulis: Arthur Conan Doyle
  • Penerbit: Popular dan Rupa Publication
  • Halaman: 1,407
  • Penilaian: ***** (5)

PROFIL

  • Sir Arthur Conan Doyle (22 Mei 1859-7 Julai 1930) ialah pengarang dan doktor perubatan kelahiran Edinburgh.
  • Terkenal dengan kisah penyiasatan Sherlock Holmes meskipun turut menulis drama, puisi, novel sejarah dan karya bukan fiksyen.
  • Selain siri Sherlock Holmes, Doyle juga menghasilkan karya Professor Challenger dan Mary Celeste.
  • Berita Harian X