Rabu, 20 April 2016 | 7:16pm

Kamal terhutang budi pada Sha & Shah


PELAKON, Kamal Adli nyata cukup teruja dengan sokongan peminat yang diterimanya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Kali pertama disenaraikan hingga ke peringkat akhir Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), pelakon, Kamal Adli nyata cukup teruja dengan sokongan peminat yang diterimanya.

Pada edisi ke-29 anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu, Kamal adalah antara lima calon Top 5 kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Dalam kategori yang sentiasa menyaksikan saingan sengit itu, bintang yang ketika ini sering dikaitkan dengan Emma Maembong dicabar oleh Remmy Ishak, Sharnaaz Ahmad, Fattah Amin dan Faizal Hussein.

Bercakap kepada BH Online, Kamal berasakan kejayaannya memasuki pencalonan akhir adalah disebabkan populariti drama komedi romantik, Sha & Shah.

Diterbitkan oleh MIG Pictures, drama adaptasi novel tulisan Sha Ibrahim itu turut dibintangi Syatilla Melvin, Azwan Kombos, Nina Iskandar, Shima Anuar, Azhan Rani, Aizat Hassan dan Kartina Aziz.

"Seingat saya, nama saya pernah disenaraikan dalam pencalonan awal ABPBH, beberapa tahun dulu. Ketika itu, saya bagaimanapun gagal untuk disenaraikan hingga ke peringkat Top 5. Waktu itu juga, saya memang tidak pernah memaksa peminat atau kelab peminat mengundi.

"Cuma kali ini, selepas drama Sha & Shah menjadi hits, ada pula pihak yang mahu berhabis-habisan mengajak peminat mengundi saya," katanya yang disokong kelab peminat rasmi dikenali sebagai Kamaliens.

Saat namanya melekat sebagai calon akhir, Syatilla yang juga rakan gandingannya dalam terbabit kurang bernasib baik apabila gagal melepasi senarai Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular.

Situasi sama berlaku pada Ungku Ismail yang tidak berada dalam kelompok lima calon akhir, sedangkan gandingannya dalam drama yang mencipta fenomena di TV3, Teman Lelaki Upahan, Siti Elizad, mara menerusi kategori pelakon TV.

Sementara itu, Kamal yang baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-30, 16 April lalu, menerima kejutan daripada kelab peminatnya selain diraikan di set penggambaran telefilem, Rong Ples Rong Taim, arahan Yusry Abdul Halim di bawah projek Karya 12.

"Alhamdulillah di atas segala keindahan hidup yang saya lalui dari kecil hingga sekarang. Terima kasih semua yang mendoakan yang baik-baik untuk saya," katanya yang akan membintangi drama Assalamualaikum Cinta arahan Michael Ang, awal Mei depan, di samping Emma, Saharul Ridzwan dan Ayda Jebat.

Berita Harian X