Rabu, 20 April 2016 | 10:43am

Saham Asia cecah paras tinggi enam bulan

SYDNEY: Saham Asia mencecah paras tinggi dalam tempoh enam bulan hari ini berikutan penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) dan keredaan kebimbangan mengenai ekonomi China yang membantu meningkatkan harga komoditi dan minat risiko secara umum.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI naik 0.4 peratus ke paras yang dicatatkannya pada awal November.

Indeks sensitif terhadap sumber Australia meningkat 0.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh hampir empat bulan dan Indeks Jepun, Nikkei naik 1.1 peratus.

Di Wall Street, Indeks Dow ditutup semalam dengan meningkat 0.27 peratus, sementara Indeks S&P 500 naik 0.31 peratus untuk ditutup melepasi paras 2,100 mata buat pertama kali pada 2016.

Indeks Nasdaq susut 0.4 peratus, sementara Intel jatuh tiga peratus selepas beberapa jam keputusan kewangan yang mengecewakan diumumkan.

Pengeluar cip itu mengurangkan unjuran pendapatannya dan berkata ia akan mengurangkan jumlah pekerjanya sebanyak 12,000 di peringkat global.

Harga minyak terus memperlihatkan semula corak aliran yang dicatatkannya sebelum ini, jatuh di dagangan Asia selepas meningkat kukuh semalam.

Minyak mentah Brent jatuh AS$0.58 kepada AS$43.44 setong, sementara minyak mentah AS merosot AS$0.73 kepada AS$40.35 setong.

Harga meningkat kerana mogok di Kuwait mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.7 juta tong sehari, sebahagiannya mengimbangi kegagalan pengeluar minyak untuk bersetuju mengenai pembekuan output.

Tembaga, bijih besi, emas dan perak semuanya mencatatkan peningkatan besar, dengan emas mencecah AS$1,250.20 seaun. Ia membantu meningkatkan mata wang komoditi, dan dolar Australia meningkat ke paras tinggi sejak Jun pada paras AS$0.7827.

Namun dolar AS masih mencatatkan rali berikutan kelemahan yen untuk mencecah paras 109.22.

Euro pula meningkat kepada AS$1,1358.

Peniaga berkata, ia kini banyak bergantung kepada keputusan mesyuarat dasar Bank Pusat Eropah ( ECB) esok.

Pada Mac, Ketua ECB, Mario Draghi melaksanakan pakej agresif tetapi tidak lantang mengenai kesannya dengan mencadangkan tidak akan ada pengurangan selanjutnya, yang mana memberi euro rangsangan yang tidak diundang. - Reuters

Berita Harian X