Rabu, 20 April 2016 | 10:41am

Bursa Malaysia dibuka tinggi sejajar pasaran Asia lain

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini disokong prestasi kukuh di bursa Asia yang memberi rangsangan di kalangan pelabur di sini.

Pada jam 9 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.21 mata kepada 1,713.36 berbanding penutup semalam pada paras 1,711.15.

Pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 98 berbanding 63, dengan 144 kaunter tidak berubah, 1,419 tidak didagangkan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 65.87 juta saham bernilai RM30.58 juta.

Peniaga berkata, keredaan kebimbangan berhubung ekonomi China memulihkan sentimen belian di rantau ini.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI meningkat 0.4 peratus sementara Indeks Jepun, Nikkei melonjak 1.1 peratus.

Di Wall Street, Indeks Dow Jones Industrial Average meningkat 0.27 peratus sementara Indeks S&P 500 naik 0.31 peratus.

Di pasaran tempatan, Petronas Gas muncul sebagai peneraju kaunter untung pada sesi pagi, dengan sahamnya meningkat 40 sen kepada RM22.28, Hong Leong Industries naik 26 sen kepada RM7.10 dan Public Bank menambah lapan sen kepada RM19.08.

Maybank tidak berubah pada paras RM9.08, TNB meningkat enam sen kepada RM14.46 dan IHH meningkat tiga sen kepada RM6.70.

Di kalangan kaunter aktif, AirAsia X naik satu sen kepada 36 sen, AirAsia meningkat lima sen kepada RM2.17 sementara Vivokom dan Luster masing-masing setengah sen lebih tinggi kepada 31 sen dan tujuh sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas 10.18 mata lebih rendah kepada 11,899.18 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 1.15 mata kepada 12,453.22.

Indeks FBMT100 meningkat 9.21 mata kepada 11,593.08, FBM Ace melonjak 19.26 mata kepada 5,689.6 manakala Indeks FBM 70 jatuh 14.76 mata kepada 13,203.29.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 38.17 mata kepada 14,875.55 dan Indeks Perindustrian naik 6.57 mata kepada 3,280.97, sementara Indeks Perladangan jatuh 20.95 mata kepada 7,734.41. - BERNAMA

Berita Harian X