Sabtu, 16 April 2016 | 11:23am

Bayi bertali pusat ditemui di hadapan rumah


Bayi perempuan masih bertali pusat ditemui di hadapan sebuah rumah penduduk di Kampung Masjid, Teluk Kumbar, Bayan Lepas. - Foto ihsan Pembaca

GEORGETOWN: Seorang lelaki terkejut selepas menemui bayi perempuan masih bertali pusat di hadapan rumahnya di Kampung Masjid, Teluk Kumbar, di sini, awal pagi tadi.

Bayi perempuan yang dibalut baju sejuk itu ditemui menangis kira-kira jam 3 pagi di lantai rumah berkenaan.

Jurucakap polis, berkata bayi itu ditemui seorang penduduk kampung yang terjaga daripada tidur selepas mendengar tangisan bayi.

"Lelaki berusia 34 tahun itu keluar untuk memeriksa punca tangisan itu dan terkejut apabila melihat ada bayi di hadapan rumahnya.

"Dia memaklumkan perkara itu kepada jirannya sebelum membuat laporan polis," katanya.

Bayi berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan baik.

Beliau berkata, polis giat mengesan suspek yang meninggalkan bayi berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Berita Harian X