Sabtu, 16 April 2016 | 12:07am
RESTORAN Kedai Sebelah di Kelana Jaya. - Foto Ghazali Kori

Mencuba Nasi Goreng Embah di restoran Kedai Sebelah


ANTARA masakan yang disediakan di Kedai Sebelah. - Ghazali Kori

USIA penubuhan Kedai Sebelah baharu menginjak dua tahun namun namanya kini meniti bibir ke bibir pelanggan khususnya mereka yang menetap, gemar bersantai namun pada masa sama, mencari tempat makan lazat di Kelana Jaya.

Populariti memuncak bukan sahaja disebabkan deretan menu memercikkan selera ditawarkan tetapi keunikan nama diilhamkan pemiliknya, Fadzillah Deen, 58, turut mempengaruhi minat ramai untuk berkunjung ke restorannya itu.

"Ia kesinambungan kepada nama galeri perabot anak saya, Izat Arif Saiful Bahri iaitu yang terletak bersebelahan restoran ini.


FADZILLAH Deen bersama kakitangannya, Faliq Jalil. - Foto Ghazali Kori

"Memandangkan kedudukan kami sebelah-menyebelah, saya mengambil jalan mudah mengabadikan nama galeri anak namun dengan penambahan perkataan Sebelah bagi melengkapkan nama restoran baharu dibuka," katanya sewaktu ditanya maksud di sebalik nama kafe unik itu.

Hiasan dalaman Kedai Sebelah menampilkan gabungan elemen kayu dan besi, keseluruhan ruang tampil harmoni dengan latar warna redup kayu namun memperlihatkan cita rasa moden menerusi eksperimen logam dan besi sebahagian perabot, kelengkapan dan hiasan sudut.

Fadzillah berkata, ia cuba menyelitkan suasana santai seolah-olah berada di kediaman sendiri dan kebetulan Izat berkeupayaan merealisasikan ilham dan sentuhan kreatif.

"Saya mahu menyediakan ruang yang santai dan menyeronokkan buat pelanggan menganggap mereka tetamu yang perlu dilayan sebaik mungkin," katanya.

Menu enak, harga berpatutan


ANTARA pencuci mulut yang disediakan di Kedai Sebelah. - Foto Ghazali Kori

Antara faktor yang menarik pelanggan ke restoran ini ialah harga makanannya sangat berpatutan. Harga segelas sirap pandan hanya 80 sen, manakala pelbagai pilihan minuman kafein seperti Americano, espreso dan affogato boleh dinikmati dengan harga kurang RM5.

Pelanggan boleh mencuba resipi ekslusif warisan turun-temurun Nasi Goreng Embah yang disediakan menerusi campuran ramuan kentang yang dipotong dadu sebelum digoreng bersama ikan bilis, bawang serta cili padi ditumbuk halus dan ditambah sedikit belacan.

Harganya RM4 tetapi bagi yang memesan hidangan istimewa akan memperoleh tambahan ayam goreng dan keropok tenggiri dari Terengganu dengan bayaran RM8.50 sepinggan.

"Idea menyediakan Nasi Goreng Embah diperoleh menerusi ibu mentua yang sentiasa menghidangkan nasi itu setiap kali cucunya berkumpul di kampung.

"Saya mahu pelanggan merasai sajian dengan penuh kasih sayang sebagaimana lazimnya dihasilkan menerusi air tangan ibu," wanita yang berasal dari Teluk Intan, Perak ini.

Guna bahan terbaik


PELANGGAN menikmati hidangan di Kedai Sebelah. - Foto Ghazali Kori

Sajian lain yang ditawarkan di Kedai Sebelah termasuk nasi bujang yang dihidangkan bersama telur mata kerbau, sambal hitam dan sup kosong, mi kari, kuey teow sup, lasagna daging di samping aneka kudapan seperti cucur udang, karipap, apam balik dan lempeng dijamah bersama sambal ikan bilis untuk hidangan minum petang.

Menu barat seperti pasta Aglio Olio, pasta Napolitana, pasta bolognese daging dan pasta carbonara tidak meniru sepenuhnya resipi Itali sebaliknya disesuaikan dengan selera tempatan.

"Saya faham cita rasa orang kita yang tidak mampu menerima sepenuhnya menu Barat. Saya masukkan rasa pedas cili padi dan ia memikat pelanggan untuk mencubanya," katanya.

Memiliki tiga chef yang berupaya menyediakan aneka masakan tempatan dan barat, Club Sandwich and Beef Pastrami, Tuna atau Eggmayo yang menggunakan daging import dari New Zealand disenaraikan menu paling mahal dengan harga hanya RM12.

Itupun kata Fadzillah, bahan-bahan disajikan adalah yang terbaik berbanding harga dikira sangat berpatutan.

"Saya tidak lokek demi menyediakan sajian enak yang memenuhi selera pelanggan dan prinsip ini akan saya kekalkan sampai bila-bila," katanya.

INFO Restoran Kedai Sebelah

Lokasi: D-G-02, Jalan SS6/20A, Petaling Jaya

Waktu Operasi: 9.30 pagi hingga 12 tengah malam

Instagram: kedai.sebelah

Berita Harian X