Jumaat, 15 April 2016 | 5:30pm

KHADAM mahu bina generasi berilmu

PENGERUSI MARA merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Tan Sri Annuar Musa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Bagi memberi pendedahan akan kepentingan pendidikan terutama kepada penduduk luar bandar, Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh (KHADAM) menganjurkan Program Mesra Siswa Perdana 2016 dalam Parlimen Ketereh selama empat hari bermula esok.

Program itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, Ketereh dan beberapa lokasi lain sekitar Parlimen Ketereh bertujuan meningkatkan kecemerlangan pendidikan pelajar dengan pembabitan ibu bapa, mahasiswa, institut pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan pihak berkaitan.

Pengerusi MARA merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Tan Sri Annuar Musa berkata, pendekatan program ini lebih mesra rakyat dalam menyampaikan ilmu kerana kejayaan orang Melayu sejak dulu banyak bergantung kepada bidang pendidikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, program itu juga akan membabitkan semua peringkat pelajar termasuk yang kurang cemerlang dalam akademik atau tercicir dalam pendidikan bagi membantu mereka mencari potensi diri untuk berjaya dalam kehidupan.

"Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk Karnival Pendidikan dan Keusahawanan di SMK Kadok, Ketereh," katanya kepada BH Online di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, Program Mesra Siswa Perdana 2016 Parlimen Ketereh yang berbentuk khidmat baktisiswa turut menghimpunkan sejumlah mahasiswa dari beberapa Universiti Awam (UA) bagi meningkatkan semangat dan pengetahuan pelajar serta penduduk setempat.

Pelbagai program menarik dirancang sepanjang tempoh program berlangsung meliputi karnival pendidikan dan keusahawanan, gotong-royong, bengkel seni budaya, program ziarah kasih, seminar keibubapaan, forum perdana, program motivasi, pemeriksaan kesihatan dan sukan rakyat.

Pameran pendidikan itu juga membabitkan beberapa IPT bagi membolehkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pengajian mendapatkan maklumat berkaitan bidang mereka minati.

Selain itu, turut diadakan gerai pameran beberapa agensi kerajaan untuk pelbagai aktiviti dan khidmat nasihat kepada orang ramai. Gerai jualan daripada usahawan tempatan dan MARA juga dibuka kepada pengunjung.

Pasukan Jelajah Pendidikan Bumiputera turut membuka kaunter untuk pelajar lepasan sekolah yang tidak dapat menyambung pelajaran bagi program pradiploma melalui institusi tempatan yang sedia bekerjasama bagi membantu mereka.

Majlis penutup Program Mesra Siswa Perdana 2016 Parlimen Ketereh akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di SMK Kadok.

Berita Harian X