Khamis, 14 April 2016 | 11:59am

Polis Sabah rampas syabu lebih RM500,000


TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer (tengah) menunjukkan bungkusan berisi serbuk dadah jenis syabu yang berjaya dirampas pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. - Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan satu kumpulan pengedaran dadah selepas menahan lima suspek termasuk seorang wanita dan merampas syabu seberat 6.6 kilogram bernilai lebih setengah juta ringgit di bandar raya ini dan Sandakan, kelmarin.

Semua suspek warga tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun itu ditahan antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Selain dadah bernilai RM522,000, polis merampas beberapa barangan lain termasuk kenderaan mewah Mini Cooper dan Toyota Land Cruiser selain Toyota Wish, PERODUA Myvi dan sebuah motosikal berkuasa tinggi serta dua utas jam tangan serta wang tunai RM107,470.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer, berkata nilai keseluruhan rampasan dadah dan barang disita mencecah RM1.087 juta.

Katanya, penahanan lima suspek itu hasil maklumat diterima Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah mengenai satu transaksi pengedaran dadah akan dilakukan di Terminal Bas Inanam, di sini, kelmarin.

"Berikutan itu, polis melakukan pemantauan di terminal dan menahan seorang suspek wanita dalam sebuah bas yang baru tiba dari Sandakan. Wanita itu membawa sebuah kotak sederhana besar dibalut dengan pita pelekat berwarna coklat.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kotak itu menemui lapan bungkusan surat khabar dengan setiap satu di dalamnya, mempunyai bungkusan plastik berwarna kuning bercetak tulisan `Guanyinwang' berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 6,216 gram.

"Soal siasat ke atas suspek membawa kepada penangkapan empat lelaki di Sandakan dan bandar raya ini pada hari sama. Polis turut merampas syabu seberat 400 gram susulan penahanan dua suspek lelaki di Sandakan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, sebentar tadi.

Awang Sahari berkata, polis percaya lima suspek itu ada kaitan dan mereka disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan sejak setahun lalu.

Berita Harian X