Khamis, 14 April 2016 | 12:06am
PEKERJA memunggah sampah yang dikumpul dari sekitar pulau dengan menggunakan bot untuk dibawa ke Jeti Merang dan dihantar ke pusat pelupusan. - Foto Aswadi Alias
PEKERJA membersihkan tempat pengumpulan sampah di Pulau Redang. - Foto Aswadi Alias
PEKERJA mengumpul sampah di Pulau Redang dengan menggunakan bot. Foto Aswadi Alias
SAMPAH dimasukkan ke dalam bot. Foto Aswadi Alias
BOT sampah milik TCE mengharungi perjalanan selama empat jam dari pulau ke Jeti Merang. Foto Aswadi Alias
PEKERJA TCE memunggah sampah ke dalam lori yang menunggu di Jeti Merang. - Foto Aswadi Alias
PENGURUS Projek Toyyibah Cleaner Enterprise, Mohd Zubir Yahyah (kiri) dan Penolong Pengurus, Wan Shainazi Wan Kamaruddin. - Foto Aswadi Alias

500 tan sampah pulau setahun



KUALA TERENGGANU: Keindahan pulau di luar perairan negeri ini, khususnya Pulau Redang dan Perhentian, membuatkan ia disenaraikan di antara 100 kepulauan tercantik di dunia.

Berbekalkan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara, kecantikan terumbu karangnya menjadi tarikan kepada aktiviti menyelam, manakala pesisir pantai yang memutih sentiasa memukau pelancong.

Dalam usaha memastikan keindahannya terus terpelihara, aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan. Justeru itu, kerja pelupusan sampah tidak dilakukan di kawasan pulau, sebaliknya dipindahkan ke tanah besar.

Untuk itu, Kerajaan Terengganu melantik tiga kontraktor bagi menguruskan proses pemunggahan sampah sarap dari semua pulau peranginan untuk pelupusan di tanah besar.

Selain Pulau Redang dan Perhentian, usaha sama dilakukan terhadap Pulau Pasir Panjang, Kapas dan Lang Tengah.


BOT sampah milik TCE dipenuhi muatan ketika tiba ke Jeti Merang. Foto Aswadi Alias

PEKERJA TCE memunggah sampah ke sebuah lori di Jeti Merang untuk di hantar ke pusat pelupusan. - Foto Aswadi Alias

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafie, berkata kerajaan negeri mengagihkan lebih RM7.5 juta setahun kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu; Majlis Daerah Marang (MDM) dan Majlis Daerah Besut (MDB) untuk melantik kontraktor menguruskan sisa pepejal.

"Setiap tahun, dianggarkan lebih 500 tan sampah daripada pulau di perairan seperti Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian, diangkut ke tanah besar untuk pelupusan," katanya.

Di Pulau Redang, kontraktor mengutip sampah serta memotong rumput sekitar kediaman dan chalet sebelum dibawa ke jeti nelayan Kampung Baru Pulau Redang bagi pemunggahan ke tanah besar.

Pemunggahan dibuat menggunakan bot gentian kaca dikenali sebagai Bot Sampah, yang dilengkapi enjin 120 kuasa kuda beroperasi dari Pulau Redang dan Lang Tengah setiap dua hari, manakala di Pulau Perhentian dan Pulau Kapas dilakukan setiap hari.

Kerja memindahkan sampah sarap memang mencabar semua petugas kerana terpaksa menghidu bau busuk, dari jeti ke dalam bot serta mengharungi perjalanan selama lima jam menuju jeti Merang.


BOT dipenuhi bungkusan sampah mula bergerak menuju ke Jeti Merang sebelum dihantar ke pusat pelupusan. - Foto Aswadi Alias

KERJA memindahkan sampah di Pulau Redang dibuat menggunakan bot dilengkapi dua enjin berkuasa 120 kuasa kuda. Foto Aswadi Alias

Bot perlu sampai di Merang sebelum jam 4 petang setiap hari bagi mengelak terkandas pada beting pasir muara sungai akibat air surut, sebelum sampah dipindahkan ke dalam lori ke tapak pelupusan di Kampung Sungai Ikan.

Syarikat Toyyibah Cleaner Enterprise (TCE) antara syarikat yang diberi tanggungjawab memunggah sampah-sarap oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memulakan kerja pemunggahan seawal jam 6.45 pagi.

Selain cabaran pasang surut air, pemindahan sampah di jeti pelancongan di Pulau Pasir Panjang ke dalam bot juga perlu disiapkan sebelum jam 9 pagi, mengelakkan bertembung pelancong yang tiba di situ atau pemindahan terpaksa dibuat selepas jam 3 petang.

Pengurus Operasi TCE, Mohd Zubir Yahya, berkata dua bot disediakan bagi tujuan pemindahan dan mengutip sampah daripada 13 chalet sekitar Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Pasir Panjang di sini.


DUA bot digunakan TCE untuk mengangkut sampah yang dikumpul dari pulau ke tanah besar setiap hari. Foto Aswadi Alias

PEKERJA menyusun sampah yang telah dikumpul di atas bot bagi mengelak ia terjatuh ketika mengharungi ombak. Foto Aswadi Alias

"Sebuah bot dengan lima pekerja mengambil sampah daripada jeti nelayan di Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah, selain melakukan kutipan yang dikumpul pemilik chalet di tepi pantai.

 

"Sebuah lagi digunakan untuk mengangkut sampah basah dan kering daripada beberapa chalet di Pulau Pasir Panjang. Setiap dua hari, kami mengangkut lima hingga lapan tan sampah ke pusat pelupusan sampah MBKT," katanya.

Jumlah sampah tidak menentu, sebaliknya bergantung kepada jumlah pengunjung ke kawasan pulau peranginan berkenaan.

Beliau berkata, cabaran pasang surut air adalah antara halangan terpaksa ditempuh tetapi tugas tetap perlu dilaksana bagi memastikan keindahan pulau dan pesisir pantai sentiasa bersih.

Katanya, kadangkala pekerja terpaksa mengharungi air laut untuk mengambil sampah yang diletakkan di dalam tong oleh pemilik chalet apabila bot tidak dapat menghampiri pantai kerana air cetek.

Berita Harian X