Sabtu, 9 April 2016 | 12:02am

Susu ibu tingkat sistem imunisasi


SEORANG kanak-kanak yang menyusu dalam tempoh lama tiada risiko untuk menghidap masalah berat badan berlebihan ketika proses membesar. - Foto hiasan

KAJIAN The Lancet Series, jurnal kesihatan atas talian membuktikan amalan menyusukan bayi boleh menyelamatkan nyawa si kecil.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam penyelidikannya mencatatkan penurunan kes kematian kanak-kanak.

Catat penurunan

Amalan menyusukan bayi ini juga mencatatkan penurunan kadar serangan kanser rahim dan payu dara dalam kalangan ibu.

Kajian The Lancet Series itu juga menyatakan, amalan itu menyelamatkan nyawa lebih 820,000 kanak-kanak dalam tempoh penyelidikan selama satu tahun.

Daripada jumlah itu, laporan kajian juga menyatakan, sembilan daripada 10 kanak-kanak itu adalah bayi berumur bawah enam bulan.

tangani masalah cirit-birit

Amalan menyusukan bayi dengan lebih kerap mencegah hampir separuh risiko serangan cirit-birit dan satu pertiga daripada jangkitan pernafasan.

Dua penyakit itu adalah penyebab utama kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun.

Kajian itu juga menunjukkan menunjukkan risiko ibu yang menyusukan bayi mereka didapati kurang risiko mendapat kanser payudara, dengan kadar pengurangan sehingga enam peratus.

Kadar penyusuan ibu terkini mencegah hampir 20,000 kematian daripada kanser payudara setiap tahun.

Jumlah itu mungkin boleh meningkat sekali ganda lagi dengan peningkatan amalan menyusu badan.

Pengurangan 36 peratus kematian mengejut

Penyusuan ibu dikatakan, menurunkan kadar kematian kanak-kanak di dalam negara berpendapatan tinggi.

Ini dikaitkan dengan pengurangan sehingga 36 peratus kematian mengejut dalam kalangan bayi. Juga dicatatkan kadar penurunan sehingga 60 peratus dalam penyakit paling kerap ditemui dalam kalangan bayi pramatang iaitu penyakit usus.

Seorang kanak-kanak yang menyusu dalam tempoh lama tiada risiko untuk menghidap masalah berat badan berlebihan ketika proses membesar.

The Lancet Series mendapati kerugian kognitif turut dikaitkan dengan amalan tidak memberi susu ibu. Keadaan ini memberi kesan kepada potensi pendapatan, berjumlah sehingga USD302 bilion (RM1.254 trilion) setahun.

Negara berpendapatan rendah dan sederhana mengalami kerugian sekitar USD70 bilion (RM290.6 bilion).

Bagi negara berpendapatan tinggi pula dicatatkan mengalami kerugian lebih USD230 bilion (RM955.5 bilion) setahun disebabkan kadar penyusuan ibu yang rendah.

Kurang risiko kanser ovari

Tempoh menyusu ibu yang lebih lama juga dikaitkan dengan pengurangan risiko untuk menghidap kanser ovari.

Ketua Nutrisi UNICEF, Werner Schultink, dalam kenyataannya menyatakan, amalan menyusu bayi memberi kesan yang penting ke atas kesihatan wanita dan kanak-kanak di samping membantu ekonomi negara kaya dan miskin.

"Siri terbitan itu menyediakan bukti penting untuk kes membabitkan amalan penyusuan ibu menjadi penanda aras kepada tahap kesihatan, proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

"Kesejahteraan ini menyumbang kepada masa depan yang lebih berdaya saing dan makmur," katanya.

Menurut UNICEF, penyelidikan The Lancet Series turut mengesahkan manfaat penyusuan ibu berupaya menyelamatkan nyawa kepada wanita dan kanak-kanak daripada negara berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.


AMALAN menyusukan bayi ini juga mencatatkan penurunan kadar serangan kanser rahim dan payu dara dalam kalangan ibu. - Foto hiasan

Dasar galak amalan menyihatkan

UNICEF berkata, kebaikan penyusuan ibu yang pelbagai dari aspek kesihatan ibu dan kanak-kanak selain menjana ekonomi seharusnya membuatkan kerajaan menyediakan dasar dan program melindungi, mempromosi dan menyokong amalan ini.

Ini penting terutamanya kepada ibu bekerja. Situasi semasa menunjukkan seorang ibu perlu kembali bekerja dalam tempoh singkat selepas melahirkan dan keadaan ini merendahkan peluang ibu tadi memberi susu kepada bayi mereka.

Secara kasarnya, 60 peratus daripada negara di dunia ini memberikan cuti bersalin yang tidak mencapai cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu minimum 14 minggu cuti berbayar.

Apabila wanita yang memberi susu ibu kembali bertugas, tempat kerja mereka tidak menyediakan kemudahan mengepam susu.

Schultink bersetuju dengan hasil kajian The Lancet Series, menyatakan kadar penyusuan ibu semakin meningkat adalah pemacu dalam mencapai matlamat pembangunan modal insan lebih berdaya saing.

Beliau berkata, generasi yang sihat mengurangkan kos rawatan, memangkin tumbesaran kanak-kanak, meningkatkan kecergasan dan melahirkan generasi lebih berpendidikan.

"Proses penyusuan adalah prosedur semula jadi, tidak menelan kos yang besar. Melengkapkan generasi kepada nutrisi lebih seimbang selain kestabilan emosi.

"Amalan ini mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak yang terbabit," katanya.

Berita Harian X