Sabtu, 9 April 2016 | 12:01am

Ayam goreng berempah Padang

CEF Awie Iskandar dari di restoran Kembali Kitchen, Best Western sedia menyediakan masakan tradisional mahupun moden. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KEPELBAGAIAN masakan berasaskan ayam sering menjadi antara menu utama yang disediakan sebagai lauk kegemaran ramai.

Aneka citarasa unik, termasuk gandingan resipi masakan tradisional mahupun moden memberikan pilihan luas untuk bertukar selera setiap hari. Malah, bukan saja resipi lauk pauk, hidangan ayam goreng juga mampu menyelerakan sesiapa saja yang mencubanya.

Resipi masyarakat setempat, hidangan ayam goreng berempah Padang misalnya, mencuri tumpuan pencinta makanan kerana resipi ayam goreng dari Kota Padang Sumatera Barat, Indonesia itu ternyata memenuhi selera masyarakat tempatan.

Masakan ayam goreng yang diperap terlebih dulu dengan rempah ratus itu menerbitkan bau harum apabila digoreng. Dengan bau enak dan kerangupan ayam goreng itu ia mampu membuatkan sesiapa saja terasa lapar, malah pasti ada yang berebut-rebut untuk memastikan dapat merasai hidangan lazat ini.

Kepuasan selera

Biarpun ringkas, masakan ayam goreng berempah Padang juga berbaloi untuk dinikmati sebagai makanan tengahari dan digandingkan dengan pelbagai lauk lain serta ditambah ulam-ulaman segar.

Bagi kanak-kanak dan mereka yang tidak menggemari masakan pedas, makan nasi berlaukkan ayam goreng rempah saja sudah cukup menambat selera.

Minggu ini, FAMILI ketengahkan langkah demi langkah resipi ayam goreng berempah dikongsikan Cef Awie Iskandar dari di restoran Kembali Kitchen, Best Western. Hidangan ini mudah saja untuk dicuba dan paling penting, memberikan kepuasan selera.

Resipi rahsia diterbangkan dari Indonesia oleh cef itu juga bertambah enak sekiranya bahan-bahan perapan segar digunakan untuk tingkatkan aroma lauk pauk.

Ayam goreng berempah Padang

Tempoh memasak: 20 minit

Hidangan untuk lima orang

CEF Awie Iskandar sedang menyediakan resipi ayam goreng berempah Padang. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Bahan-bahan:

500 gram (g) paha ayam

250 mililiter (ml) minyak masak

40g bawang putih | dikisar halus

30g halia dikisar halus

1 biji telur ayam

10g daun kari

60g serbuk kari daging

15g serbuk cili

25g serbuk kunyit

10g serbuk jintan manis

10g serbuk jintan manis

125g tepung jagung

Garam dan serbuk lada putih secukup rasa

Cara memasak:

1. Letakkan ayam sudah dipotong dan bersih ke dalam bekas atau mangkuk kemudian gaulkan dengan kesemua bahan yang sudah dikisar.

2. Biarkan sebentar agar bahan-bahan sudah digaul rata tadi meresap masuk ke dalam isi ayam.

3. Tuangkan minyak dan panaskan lalu masukkan ayam dan goreng hingga rangup.

gn4id:12957542

MASAKAN ayam goreng yang diperap terlebih dulu dengan rempah ratus itu menerbitkan bau harum apabila digoreng. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

4. Siap untuk dijamu. Anda boleh padankan lauk ini dengan sepinggan nasi mahupun diratah saja.

MASAKAN ayam goreng berempah Padang juga berbaloi untuk dinikmati sebagai makanan tengahari dan digandingkan dengan pelbagai lauk lain serta ditambah ulam-ulaman segar. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Berita Harian X