Jumaat, 8 April 2016 | 8:13pm

Koleksi Gaya Hidup 2016 tawar pelbagai produk hartanah


PENGARAH Urusan Sime Darby Property, Dato Ir Jauhari Hamidi (kiri) dan wakil-wakil bank semasa pelancaran Sime Darby Property Lifestyle Collection 2016 di Sime Darby Tower Hartanah, Oasis Damansara - Foto Saddam Yusoff

PETALING JAYA: Pelbagai rangkaian produk hartanah kediaman dan komersial di Lembah Klang dan Negeri Sembilan ditawarkan sempena kempen Koleksi Gaya Hidup 2016 anjuran Sime Darby Property Bhd yang berlangsung sekarang hingga Jun ini.

Kempen Koleksi Gaya Hidup yang kembali diadakan itu bagi memberi lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk memiliki rumah menarik yang ditawarkan oleh syarikat hartanah itu dan paling penting bagi memberi ganjaran kepada pelanggan kerana sokongan dan kepercayaan mereka selama ini.

Selain rangkaian produk hartanah meluas di lokasi utama, kempen Koleksi Gaya Hidup 2016 itu turut menampilkan Program Pantas Keistimewaan Nilai Pelaburan (VIP), iaitu pendekatan untuk membantu orang ramai memiliki hartanah impian mereka.

Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Ir Jauhari Hamidi, berkata bagi Program Pantas VIP, pihaknya bekerjasama dengan AmBank, Bank Rakyat, BSN, Citibank, CIMB, Maybank dan RHB sebagai panel institusi kewangan

Katanya, pembeli berpotensi boleh berurusan dengan panel institusi kewangan berkenaan untuk menyemak status kredit mereka dan mendapatkan keputusan dengan pantas.

"Sebaik sahaja layak, pembeli akan diberi pinjaman pralulus bersyarat dan mereka akan dapat memulakan proses membeli-belah rumah impian mereka yang ditawarkan oleh Koleksi Gaya Hidup 2016," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jauhari berkata, Program Fast Track VIP akan membantu memudah dan mempercepatkan keseluruhan proses pembelian hartanah, memberi pembeli ketenangan fikiran dan lebih fokus dalam memilih hartanah mereka inginkan.

Kempen Gaya Hidup 2016 Sime Darby Property menawarkan pelbagai koleksi hartanah kediaman dan komersial yang dibahagikan kepada lima kategori kecenderungan gaya hidup.

Setiap kategori memenuhi keperluan yang berbeza dan bergantung kepada segmen pembeli.

Kategori itu termasuk 'The Signature' yang menampilkan rumah mewah dan berprestij; 'Kehidupan Diilhamkan' bagi mereka yang mencari rumah kontemporari dan pelbagai fungsi luas; dan 'Daya Tarikan Praktikal' dengan koleksi rumah moden, praktikal dan bergaya.

Kategori 'Kehidupan Mewah' pula disasarkan untuk warga kota mencari pangsapuri yang menakjubkan manakala Prospektus' menawarkan premis komersial yang meriah.

Hartanah apartmen servis yang baharu dilancarkan turut termasuk dalam senarai hartanah yang ditawarkan dalam kempen Koleksi Gaya Hidup 2016, seperti Cantara di Ara Damansara dan Quarza Residence di KL East.

Berita Harian X