Selasa, 5 April 2016 | 1:23pm

JPA perkenal model baharu penajaan

PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan Model Baharu Penajaan JPA melalui enam program pengajian di dalam dan luar negara.

JPA dalam satu kenyataan memaklumkan, ia akan dikuat kuasakan mengikut empat keadaan iaitu pinjaman akan ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan bayaran balik jika pelajar berkhidmat dalam perkhidmatan awam selepas tamat pengajian dan bayaran balik sebanyak 25 peratus daripada pinjaman jika berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Selain itu, bayaran balik sebanyak 50 peratus daripada pinjaman jika berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara dan bayaran balik keseluruhan pinjaman jika bekerja di luar negara," katanya.

Katanya, sebanyak RM1.65 bilion diperuntukkan JPA pada tahun ini bagi pembiayaan program penajaan untuk 49,060 pelajar sedia ada di dalam dan luar negara, serta peruntukan tambahan sebanyak RM160 juta bagi penajaan pelajar baharu.

Enam program pengajian berkenaan termasuk Program Penajaan Nasional kepada 20 pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015, Program Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman bagi 200 pelajar cemerlang SPM 2015 dan Program Ijazah Dalam Negara bagi 7,000 pelajar di universiti tempatan.

Selain itu, Program Lepasan Bursary bagi 744 pelajar Program Bursary 2013/14 serta Program Bursary kepada 250 pelajar lepasan SPM yang mendapat 9A+ dan ke atas di universiti tempatan, selain memperkenalkan satu lagi program baharu iaitu Program Dermasiswa B40 khusus untuk 1,000 pelajar daripada keluarga dalam golongan B40 untuk mengikuti pengajian peringkat diploma di universiti tempatan dan Politeknik.

"Sebagai langkah untuk memastikan pulangan setimpal dengan pelaburan oleh kerajaan, program penajaan itu juga akan dilaksanakan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah kecuali bagi Program Dermasiswa B40.

"Ia berteraskan prinsip pulangan pelaburan kepada negara dalam memastikan kerajaan akan memperoleh bakat terbaik untuk perkhidmatan awam, selain prinsip berupaya mewujudkan sifat kebertanggungjawaban kepada negara," katanya.

Berita Harian X