Selasa, 5 April 2016 | 12:09am
RACHEL mengagumi Ogy ahmad Daud. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NAMA sebenarnya Ang Hui San, namun lebih dikenali Rachel. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Rachel selesa lagu Melayu


SIKAP tegas dan lantang memberikan teguran kala berada di kerusi juri, membuatkan pelakon Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, menjadi antara individu yang digeruni ramai bakat baharu.

Namun, tidak bagi Rachel yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 2015, tanpa berfikir panjang bersedia menjadi anak didik kepada primadona filem Melayu itu.

Malah bagi Rachel, 24, kesediaan Ogy menerimanya sebagai anak murid adalah satu mimpi indah dan menganggapnya sebagai anugerah pada saat beliau hilang arah untuk bangkit semula mencuba nasib menjadi anak seni.

"Saya tamat kontrak dengan sebuah stesen televisyen akhir tahun lalu dan mula hilang punca untuk meneruskan langkah. Kebetulan satu hari saya berjumpa dengan kak Ogy.

"Daripada sebuah pertemuan, beliau sudi mengambil saya menjadi artisnya membuatkan saya tidak fikir panjang untuk bersetuju," katanya teruja bercerita mengenai dirinya yang berpeluang berpayung di bawah syarikat milik artis serba boleh itu.

Akui Rachel, meskipun tahu Ogy seorang yang tegas dan tiada kompromi dengan perkara yang remeh-temeh, beliau tetap mahu mencipta langkah sebagai anak seni bersama wanita itu kerana percaya dengan karisma serta kredibiliti dimiliki anak pasangan Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah itu.


Rachel (kiri) dan Lisa (kanan) tersingkir AF2015 di Dewan MBSA. - Foto Saifullizan Tamadi

"Kak Ogy sendiri bertanya beberapa kali dan saya tahu beliau memang tegas serta garang, tapi ia bukan masalah.

"Saya percaya cikgu yang garang akan mampu melahirkan pelajar yang cemerlang," katanya penuh teruja.

Rachel yang nama sebenar, Ang Hui San, berkata beliau percaya Ogy mempunyai sentuhan magis dan mahir selok-belok untuk menilai seseorang itu.

Beliau berkata, pengalaman yang dimiliki oleh wanita berusia 53 tahun itu adalah ilmu paling berharga untuk dicurahkan kepadanya.

"Saya mahu jadi penghibur dan artis serba-boleh. Saya tahu kak Ogy ada segala bakat seni yang boleh saya pelajari daripadanya. Beliau juga seorang yang disegani dan dihormati dengan kehebatannya dalam bidang seni," katanya.

Bagi gadis kelahiran Kuantan, Pahang ini juga, beliau selesa dengan sikap terus-terang yang diamalkan Ogy terhadap sesuatu perkara.

Walaupun pahit, perkara benar itu perlu diketahui dan tidak disimpan supaya seseorang itu sedar kesilapan serta kelemahan dirinya, kata beliau.


OGY diyakini mempunyai sentuhan magis untuk melonjakkan nama Rachel di persada seni. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya rela dimarahi demi untuk kebaikan. Saya akan telan walaupun pahit asalkan ia untuk menjadi lebih baik," katanya yang pernah menjuarai Pertandingan Bintang Idola BH Zon Timur ketika berusia 18 tahun.

Kala ditanya mengenai kecenderungannya untuk bekerja dengan mereka yang berlainan bangsa, Rachel berkata, dirinya sudah terdedah kepada persekitaran masyarakat Melayu sejak di sekolah rendah.

Beliau juga memang lebih gemar menyanyikan lagu Melayu, berbanding dendangan dalam bahasa ibundanya sendiri.

"Mak saya sendiri kata saya lebih sedap menyanyi lagu Melayu daripada lagu Cina," katanya sambil tertawa.

Rachel berkata, beliau mula belajar menyanyi dengan dorongan ibu angkatnya yang juga guru sekolahnya sendiri yang dikenali sebagai Nor Fazil menerusi rangkaian lagu puisi.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan ini bakal muncul dengan single terbaharu berjudul, Matabulan ciptaan Mulah dan Rafik, tidak lama lagi.


IBUNYA menyifatkan nyanyian lagu Melayu oleh Rachel, lebih baik berbanding bahasa lain kerana terdedah kepada persekitaran masyarakat Melayu sejak di bangku sekolah rendah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Beliau berkata, single berentak rancak itu memberikan makna tersendiri buatnya, sebagai penampilan terkini untuk mencari ruang dalam industri hiburan tanah air.

"Jujurnya saya meminati irama balada, tetapi lagu ini memberikan kelainan dan sesuai untuk melahirkan Rachel yang baharu. Saya berharap ada peluang untuk saya dan mendapat sokongan semua," katanya.

Rachel berharap beliau mampu mengukir nama seperti penyanyi Tionghua terdahulu seperti Sara Loo, Elaine Kang, Winnie Kok dan Soo Wincci.

Berita Harian X