Isnin, 4 April 2016 | 10:48pm

SP Setia umum Khor sebagai Presiden, CEO


DATUK Khor Chap Jen.

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah SP Setia Bhd mengesahkan Datuk Khor Chap Jen sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 April, 2016.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu menyatakan Khor yang memangku jawatan Presiden dan CEO bermula 1 Januari 2015, berkhidmat dengan kumpulan sejak 1995.

Lembaga Pengarah juga mengumumkan Datuk Wong Tuck Wai sebagai Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) manakala Choy Kah Yew sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) berkuat kuasa 1 April, 2016.

"Semasa pelantikan sebagai pemangku Presiden dan CEO, Khor menunjukkan kepimpinan beliau dan membawa pasukan Setia mencapai keputusan yang hebat meskipun berdepan cabaran perubahan dalam syarikat," menurut SP Setia.

Menurut syarikat itu, beliau menyusun pasukan yang baik dan memastikan kesinambungan operasi perniagaan yang menyebabkan syarikat mencatatkan jualan sebanyak RM4.32 bilion bagi tahun kewangan 2015, tertinggi dalam kalangan industri hartanah.

"Kumpulan turut merangkul beberapa anugerah terkemuka pada 2015 yang menunjukkan pengiktirafan pasaran terhadap syarikat sebagai antara pemaju hartanah utama dalam negara di bawah kepimpinan beliau," katanya.

Antara anugerah yang diraih syarikat ialah Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2015, Anugerah Hartanah Asia Tenggara 2015 dan Anugerah Majikan Terbaik oleh Aon Hewitt.

Sementara itu, SP Setia berkata Wong telah bersama kumpulan selama 40 tahun dan sebagai pemangku Timbalan Presiden dan COO, beliau menyokong Khor dalam membawa pasukan Setia mencapai keputusan jualan dan petunjuk prestasi utama kumpulan yang hebat.

Bagi Choy pula, beliau menyertai kumpulan pada April 2014 sebagai Ketua Hal Ehwal Korporat dan seterusnya dilantik memangku CFO pada 16 Jun 2014.

Pengerusi Lembaga Pengarah, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, berkata syarikat yakin pengesahan ketiga-tiga kedudukan pengurusan utama ini akan terus menyumbang secara positif kepada kemampanan pertumbuhan syarikat. - BERNAMA

Berita Harian X