Isnin, 4 April 2016 | 10:11am

Nestle rancang anjur lebih banyak Program Mentor PKS

PETALING JAYA: Nestle (Malaysia) Bhd merancang menganjurkan lebih banyak Program Mentor PKS bagi membantu membangun dan meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, terutama dalam industri makanan dan minuman (F&B) halal.

Pengurus Operasi Halal Nestle Malaysia, Sariffuddin Mahmud, berkata program itu adalah kerjasama strategik antara Nestlé Malaysia, Halal Industry Development Corporation (HDC) dan SME Corp Malaysia yang dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian pada 10 Ogos 2009.

Katanya, objektif program itu adalah membangun dan meningkatkan keupayaan PKS tempatan, terutama dalam industri makanan dan minuman halal.

"Kami mempunyai peranan penting dalam mengembangkan perniagaan usahawan PKS dan seterusnya menjadi pembekal kepada syarikat multinasional seperti Nestlé kerana syarikat terbabit memerlukan ramuan atau bahan asas yang halal.

"Melalui program itu, peserta didedahkan mengenai peluang pasaran, syarat serta proses yang harus dilalui dalam usaha menembusi pasaran di pasar raya besar, rangkaian peruncitan dan multinasional yang mana sejak pelaksanaan program itu, Nestle sudah membantu lebih 343 PKS dalam industri F&B halal," katanya dalam temubual di sini, baru-baru ini.

Sariffuddin berkata, syarikat multinasional amat memerlukan pembekal tempatan khususnya bahan ramuan bagi mendapat harga berpatutan dengan mengambil kira kualiti, kuantiti dan tempoh penghantaran lebih cepat.

"Setiap tahun, kami berusaha membantu membangun dan meningkatkan keupayaan kira-kira 80 PKS tempatan dan tahun ini jumlah keseluruhan yang dibantu dijangka melebihi 400," katanya.

Malaysia adalah pasaran Nestle pertama yang memohon pensijilan halal untuk semua produk F&B yang dikeluar dan dipasarkan. Ia memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1994

Nestlé Malaysia turut mempunyai Jawatankuasa Halal yang ditubuhkan pada 1980-an, dianggotai antaranya termasuk eksekutif kanan dari pelbagai bahagian dalam syarikat.

Ia juga adalah Pusat Kecemerlangan Halal Global bagi syarikat multinasional itu, sekali gus bermakna Nestlé Malaysia berperanan menawarkan panduan dasar, pengetahuan dan kepakaran mengenai halal kepada pasaran lain Nestlé di seluruh dunia.

Sariffuddin berkata, halal kini menjadi sebahagian daripada dasar Nestlé Malaysia untuk memastikan ia mematuhi segala aspek mengenai pensijilan halal.

Dasar halal Nestlé Malaysia menumpukan maklumat mengenai ramuan, sumber, pengeluaran, pembungkusan dan pengangkutan produk halal Nestlé.

"Daripada keseluruhan 456 kilang Nestlé di seluruh dunia, 150 atau kira-kira 30 peratus memiliki pensijilan halal, manakala di Malaysia, kesemua lapan kilang Nestlé mempunyai pensijilan halal," katanya.

Nestlé Malaysia kini mengeluarkan lebih 300 produk dan mengeksportnya ke 51 negara.

Berita Harian X