Khamis, 31 March 2016 | 6:45pm

Saham Asia akhiri suku pertama 2016 dalam keadaan berhati-hati

HONG KONG: Pasaran saham Asia mengakhiri suku pertama yang tidak menentu dalam keadaan berhati-hati hari ini, dengan sentimen yang dipacu oleh prospek kos pinjaman Amerika Syarikat (AS) yang rendah diimbangi aktiviti pengambilan untung selepas peningkatan baru-baru ini.

Shanghai dan Tokyo mencatatkan prestasi paling buruk di kalangan indeks utama global lain dalam tempoh tiga bulan ini meskipun rali dicatatkan pada Mac.

Wall Street menyediakan petunjuk kukuh hari ini dengan peningkatan dalam tiga indeks utama, tetapi peniaga kekal bimbang dan sesetengahnya mengambil untung sehari sebelum perangkaan utama dari China dan AS dikeluarkan.

Pasaran dunia meningkat selepas Ketua Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen berkata bahawa bank pusat tidak akan menaikkan kadar faedah dalam separuh pertama tahun ini, dengan mengetengahkan kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global.

"Kami melihat rali yang besar tetapi masih terdapat kebimbangan tulen di luar sana. Pasaran terlebih jangka sesetengah risiko, yang mana kini mereka mungkin merendahkan jangkaan mereka," kata Ketua Kekayaan Swasta Craigs Investment Partners in Wellington, Mark Lister kepada Bloomberg News.

Shanghai dan Tokyo menerajui pasaran dunia rendah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dijejaskan oleh kelemahan ekonomi China dan kejatuhan harga minyak.

Indeks Nikkei Jepun mengakhiri suku pertama 12 peratus lebih rendah sementara Shanghai jatuh sekitar 15 peratus.

Kebanyakan bursa serantau mengakhiri suku ketiga 2016 dalam nada negatif, meskipun mencatatkan peningkatan pada Mac kerana bank pusat menampilkan langkah pelonggaran monetari.

Pada penutup hari ini, Tokyo jatuh 0.7 peratus, sementara Shanghai naik 0.1 peratus, Hong Kong ditutup 0.1 peratus lebih rendah, Seoul jatuh 0.3 peratus sementara Sydney ditutup 1.5 peratus lebih tinggi. - AFP-

Berita Harian X