Isnin, 28 March 2016 | 12:05am
ANTARA rekaan kasut Oxford di bawah jenama LERA. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ANTARA rekaan kasut Oxford di bawah jenama LERA. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ANTARA rekaan kasut Oxford di bawah jenama LERA. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Kasut Oxford jenama LERA


DIDORONG minat tinggi kepada kasut dan bosan bekerja makan gaji, menjadi pencetus kepada Leeza Buniran untuk menceburi bidang perniagaan.

Percutiannya ke Singapura dan melihat penggayaan kasut model Oxford yang dipakai penduduk kota Singa itu memberi inspirasi kepadanya untuk menjual kasut berkenaan di pasaran tempatan.

Pada mulanya, beliau mula berniaga secara sambilan dan kecil-kecilan dengan menjual kasut yang diambil dari Bandung.

"Saya mula berniaga kasut pada tahun 2010. Ketika itu, saya menjual kasut yang bercorak batik dari Bandung dengan modal permulaan antara RM1,000 hingga RM2,000," katanya kepada BH ketika ditemui baru-baru ini.


PENGUSAHA jenama Lera, Leeza Buniran (kanan) dan Nur Faezah Ramli - Foto Hasriyasyah Sabudin

Apabila melihat sambutan menggalakkan, Leeza mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan itu secara sepenuh masa.

Beliau juga mengajak rakannya, Nur Faezah Ramli, menjadi rakan kongsi bagi membangunkan jenama kasut model Oxford sendiri yang dikenali sebagai LERA.

Berbekalkan perkongsian modal kira-kira RM6,000, dua sahabat karib itu mula membangunkan kasut model Oxford sendiri dengan menempahnya di Bandung.

Dalam menjalankan perniagaan mereka, Leeza bertanggungjawab dalam rekaan kasut, sementara Nur Faezah pula terbabit dalam urusan pentadbiran perniagaan.


LEEZA dan Faezah membangunkan jenama kasut mereka secara menempahnya di Indonesia.

Leeza berkata, beliau tidak mempunyai masalah dalam membuat rekaan di bawah jenama LERA kerana minatnya yang mendalam dan membuat penyelidikan mengenai kasut itu yang direka di luar negara.

Bagi Nur Faezah pula, untuk menguruskan perniagaan adalah bidang kepakarannya, lagipun beliau adalah graduan jurusan pentadbiran perniagaan dari Universiti Malaya.

Jadi, gabungan kepakaran masing-masing memudahkan mereka untuk menjalankan perniagaan meskipun membangunkan perniagaan sendiri adalah pengalaman yang mencabar buat mereka berdua.

"Bukan mudah untuk menjalankan perniagaan. Kami mula secara kecil-kecilan dengan menjual kira-kira 50 pasang kasut.


LEEZA bertanggungjawab dalam rekaan kasut, sementara Nur Faezah mengetuai pentadbiran perniagaan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

"Kami pergi ke Bandung untuk menempah kasut di bawah jenama sendiri. Kami memilih Bandung kerana di sana terdapat banyak tukang kasut, malah material juga adalah pelbagai dan kosnya adalah murah jika dibandingkan di sini (Malaysia)," kata Leeza.

Nur Faezah berkata, mereka mula menjual kasut jenama LERA secara dalam talian dengan menyasar pelanggan yang berusia 18 tahun hingga 30 tahun.

Di samping itu, beliau berkata, mereka juga menjual kasut mereka menerusi bazar sekitar Lembah Klang.

Mengenai cabaran paling mencabar sepanjang mereka terbabit dalam perniagaan, Leeza berkata, dari segi modal untuk mengembangkan perniagaan, mereka tidak mempunyai masalah kerana mereka mendapat bantuan dana daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).


LEEZA dan Nur Faezah menunjukkan sebahagian kasut rekaan dihasilkan mereka. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Cabarannya adalah dari segi komunikasi dengan pembuat kasut yang mana kadang-kadang berlaku salah faham terhadap warna yang dipilih serta bentuk kasut yang tidak standard.

Sebarang kesilapan adalah kos kepada pihaknya kerana syarikat tidak akan menjual kasut yang tidak menepati standard.

"Kadang-kadang, mereka (pembuat kasut) membuat keputusan sendiri tanpa bertanya kami terlebih dulu jika warna yang kami mahu tidak ada.

"Mereka akan menggunakan warna yang seakan-akan sama dengan apa yang kami mahu yang mana menjadikan kasut yang dihasilkan tidak menepati kehendak kami.

"Kami tidak akan menjual kasut yang tidak menepati ciri-ciri yang kami mahukan kerana kami pentingkan keselesaan pengguna," katanya.

Melangkah ke hadapan, Leeza berkata, syarikatnya bercadang untuk memperhebatkan lagi promosi terhadap kasut model Oxford jenama LERA di pasaran tempatan.

Mereka juga bercadang untuk melantik selebriti untuk menjadi duta kepada jenama kasut keluaran LERA.

BIODATA

Nama: Leeza Buniran

Umur: 30 tahun

Asal: Kota Tinggi, Johor

Pendidikan: Graduan Pengurusan Majlis UiTM

Nama: Nur Faezah Ramli

Umur: 29 tahun

Asal: Ampang, Kuala Lumpur

Pendidikan: Graduan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Malaya

Berita Harian X