Sabtu, 26 March 2016 | 8:05pm

Karnival Pendidikan UM dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Karnival Pendidikan Universiti Malaya (UM) 2016 yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini mencatat jumlah kedatangan mencecah hampir 4,700 orang.  

Daripada jumlah itu, seramai 909 pelajar mendaftarkan diri mereka untuk melanjutkan pengajian di UM iaitu 679 orang bagi ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD), manakala 230 orang bagi program asasi.

Dekan Institut Pengajian Pascasiswazah UM, Prof Dr Fauza Abd Ghaffar, berkata mereka yang berminat mengikuti ijazah sarjana dan PhD membabitkan 640 pelajar tempatan serta 39 pelajar asing, manakala 151 orang tempatan dan 79 warga asing pula bagi program asasi.

"Bidang pengajian kaunseling, pentadbiran awam dan sains adalah program yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pengunjung," katanya ketika ditemui pada majlis itu, di sini hari ini. 

Lebih 20 tapak pameran mewakili semua fakulti disediakan kepada pengunjung bagi mendapatkan maklumat pengajian di peringkat asasi dan ijazah.

Sementara itu, pelajar Asasi Sains UM yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, Muhammad Firdaus Zakaria, 19, berkata karnival itu menjadi landasan tepat sebagai rujukan bagi mereka yang masih mencari bidang pengajian bersesuaian. 

"Melalui karnival ini, orang ramai dapat memperoleh maklumat tambahan berhubung program diminati yang ditawarkan di UM, sekali gus mengenal pasti kursus paling bersesuaian dengan tahap kelulusan mereka.

"Ia bukan saja membantu pengunjung yang mahu melanjutkan pelajaran di UM, malah turut memberikan potongan 50 peratus yuran proses permohonan kepada pelajar tempatan yang mendaftar pada karnival itu, manakala pelajar asing yang mengikuti program asasi tidak dikenakan yuran berkenaan," katanya.

Bagi pelajar jurusan farmasi dari Bangladesh, Shamimu Akhtera, 27, karnival seumpama itu berjaya memberi pendedahan lebih mendalam berhubung program pengajian yang ditawarkan UM. 

"Saya berminat melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam jurusan farmasi di UM dan karnival ini memberi saya peluang mendapat maklumat secara terus berhubung bidang itu," katanya.

Berita Harian X