Selasa, 22 March 2016 | 2:31pm

Kem pemimpin pupuk kesedaran kepentingan air

PUTRAJAYA: Kira-kira 100 pelajar sekolah di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan menyertai Kem Pemimpin Muda Prihatin Air selama dua hari bermula hari ini bagi memupuk kesedaran kepentingan sumber air.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail, berkata Kem Pemimpin Muda Prihatin Air adalah penjenamaan semula Kem Pengurusan Mapan sebelum ini, yang menjadi acara tahunan di Putrajaya.


PRESIDEN Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail. - Foto Nursyahirah Marzuki

Penjenamaan semula itu merangkumi beberapa penambahbaikan dari segi modul yang diajar pada peserta supaya lebih mudah difahami dan dapat dipelajari secara santai.

"Program seumpama ini penting kerana sumber air amat kritikal untuk kesejahteraan hidup. Jika tiada ilmu dalam hal yang berkaitan, pasti generasi akan datang tidak mendapat nikmat sumber air seperti yang kita peroleh sekarang.

"Program ini juga dapat memupuk kesedaran generasi muda dalam melaksanakan pengurusan air secara bersepadu dan teratur," katanya dalam ucapan perasmian Kem Pemimpin Muda Prihatin Air 2016 (Zon Tengah), di sini sebentar tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Presiden Putrajaya, Datuk Omairi Hashim.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Latihan dan Penerangan Awam Program Hidrologi Antarabangsa Malaysia UNESCO (UNESCO-IHP Malaysia), Prof Madya Nabsiah Abdul Wahid dan Pengarah Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi merangkap Setiausaha Kehormat UNESCO-IHP Malaysia, Ir Ab Qahar Osman.

Sementara itu, Nabsiah berkata pembabitan pelajar dalam program seperti ini secara tidak langsung menjadi egen untuk perubahan dalam kalangan ahli keluarga, rakan dan masyarakat setempat.

"Kami percaya amanah dan ilmu ini dapat diperluaskan oleh pelajar serta guru yang mengikuti program berkenaan. Secara tidak langsung, kita dapat menyebarkan kepentingan air kepada lebih 31 juta penduduk di negara ini.

"Malah, program ini juga kita sasarkan kepada kumpulan berbeza. Contohnya di Putrajaya, kita sasarkan kepada pelajar sekolah dan guru, manakala di beberapa lokasi kita khususkan kepada masyarakat setempat.

"Tidak ketinggalan juga program khusus bagi golongan istimewa. Walaupun apa yang ingin disampaikan, mesejnya tetap sama, hanya pendekatan yang berbeza," katanya.

Berita Harian X